
Ketua Polis Dang Wangi, Noor Dellhan Yahaya, berkata pihaknya sudah merakam keterangan 29 individu dan mencadangkan Raja Petra dituduh mengikut Seksyen 500 Akta Fitnah.
“Polis sudah memberi taklimat kepada timbalan pendakwa raya berhubung dapatan pada 13 Sept,” katanya kepada FMT.
Dellhan berkata, dalam siasatan pihaknya, polis sudah menyemak rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di kawasan serbuan dilakukan.
Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Yahaya Othman, berkata siasatan kes itu masih berjalan.
Bulan lalu, Blogger itu dalam portalnya, Malaysia Today, mendakwa teman wanita Amar hadir ketika serbuan ke atas kediaman bekas perdana menteri Najib Razak pada Mei 2018 dan membawa pulang satu daripada beg yang dirampas polis.
Amar membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi berhubung dakwaan itu pada 12 Ogos.
Dua lagi timbalan pengarah yang sudah bersara juga membuat laporan terhadap Raja Petra pada hari sama.
Sementara itu, sumber berkata tindakan mengekstradisi blogger berpangkalan di United Kingdom (UK) tersebut untuk dikenakan pertuduhan akan berdepan halangan memandangkan UK tidak melayan permintaan ekstradisi berdasarkan dakwaan fitnah.
“Kecuali dia melakukan jenayah serius seperti pembunuhan atau rogol (UK akan mempertimbang mengekstradisinya),” kata sumber itu.