Lanjut mandat 9 Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen, gesa kumpulan sivil

Lanjut mandat 9 Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen, gesa kumpulan sivil

Kata kumpulan itu, gerak kerja jawatankuasa itu tidak harus dihalang oleh permainan meneka tarikh pilihan raya.

Setiap kementerian sepatutnya dipantau sekurang-kurangnya satu Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen, kata kumpulan sivil berkenaan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kumpulan masyarakat sivil menuntut Dewan Rakyat melanjutkan jangka hayat sembilan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP) sehingga akhir penggal Parlimen ke-14, berbanding mandat dua tahun yang berakhir pada 10 Nov.

Komuniti Perintis Untuk Parlimen Profesional, berkata lanjutan itu sepatutnya dilaksanakan pada minggu pertama mesyuarat Parlimen, pada Oktober, demi membolehkan JPKP terbabit merancang gerak kerja.

“Walaupun mandat mereka akan terhenti secara automatik apabila sesebuah pilihan raya dipanggil, gerak kerja mereka tidak harus dihalang oleh permainan meneka tarikh pilihan raya,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, setiap kementerian harus dipantau sekurang-kurangnya sebuah jawatankuasa Parlimen dan jawatankuasa tersebut harus bersifat kekal dan bukannya bersifat sementara (dipanggil “khas”) seperti yang sedia ada.

“Jawatankuasa berasaskan kementerian sedemikian boleh meningkatkan ketelusan dan kebertanggungjawaban kementerian serta kualiti penggubalan undang-undang dan dasar”.

Sembilan JPKP yang mungkin tamat mandatnya dalam tempoh kurang dua bulan ini adalah yang bertanggungjawab ke atas Kebebasan Asasi Dan Hak-Hak Di Bawah Perlembagaan; Kewangan dan Ekonomi; Keselamatan; Agensi-agensi di Bawah Jabatan Perdana Menteri; Pertanian dan Perdagangan Dalam Negeri; Pembangunan Infrastruktur, (7) Pendidikan, (8) Hal Ehwal Wanita dan Kanak-Kanak dan Pembangunan Sosial dan Kesihatan, Sains dan Inovasi.

Menurut kenyataan itu, sekiranya sembilan JPKP secara tidak sengaja terbubar kerana usul lanjutan tidak diluluskan tepat pada masanya, perkara 3.2 dalam Jadual Memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan dan Pakatan Harapan mengenai perluasan jawatankuasa Parlimen akan “tercabul”.

“Kami menyeru 10 orang Ahli Parlimen yang berada dalam Jawatankuasa Pemandu MoU mengenai Transformasi dan Kestabilan Politik untuk memastikan sebuah usul diluluskan bagi melanjutkan tempoh perkhidmatan sembilan JPKP,” katanya.

Mereka turut merujuk sembilan portfolio kementerian yang tidak dipantau mana-mana JPKP termasuk alam sekitar, sumber manusia, sumber asli dan perpaduan negara.

“Komitmen kerajaan untuk menggalakkan matlamat pembangunan mampan (SDG) dengan menubuhkan pusat SDG adalah tidak boleh diyakini apabila tiada sebuah pun JPKP mengenai SDG, perlindungan alam sekitar atau keterangkuman sosial yang lebih luas daripada hal ehwal wanita dan kanak-kanak,” katanya.

Tambahan pula, JPKP semasa ditugaskan untuk beberapa kementerian, yang mana menghalangnya daripada berfungsi secara optimum.

“Yang paling teruk ialah JPKP mengenai Pembangunan Infrastruktur, yang meliputi Kerja Raya, Pengangkutan, Pembangunan Luar Bandar, dan Perumahan dan Pihak Berkuasa Tempatan,” katanya.

Mereka juga mahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu bertanggungjawab kepada sebuah JPKP mengenai Hal Ehwal Pilihan Raya, bukannya kepada Jabatan Perdana Menteri.

Kenyataan itu ditandatangani oleh Bersih, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Undi18, Bait Al-Amanah, the Institute for Political Reform and Democracy (REFORM), Wisdom Foundation dan Engage Network.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.