2 NGO mohon mula prosiding menghina terhadap pemaju

2 NGO mohon mula prosiding menghina terhadap pemaju

SACFS dan Peka mendakwa YCH Development Sdn Bhd melanggar perintah penggantungan kerja dijalankan di Hutan Simpan Bukit Cherakah.

Kerajaan negeri mahu menyahwarta dan membangunkan kawasan seluas 406 hektar di Hutan Simpan Bukit Cherakah.
PETALING JAYA:
Dua NGO alam sekitar memohon kepada Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap pemaju yang didakwa sengaja gagal mematuhi perintah penggantungan kerja, di Hutan Simpan Bukit Cherakah.

Persatuan Rimba Komuniti Shah Alam dan Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (Peka) telah memperoleh perintah penggantungan dalam semakan kehakiman yang sedang berjalan berhubung penyahwartaan dan pembangunan di kawasan tanah rizab itu membabitkan seluas 406ha.

Perintah penggantungan dikeluarkan Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Shahnaz Sulaiman, pada 11 Ogos, terhadap kerajaan negeri, Exco dan pengarah hutan negeri dan pengarah jabatan tanah dan galian negeri.

Ia menuntut penggantungan semua bentuk penguatkuasaan dan tindakan hasil keputusan Exco, pada 5 Mei untuk menyahwartakan kawasan terjejas, yang seluas hampir 1,000 padang bola sepak, sementara menunggu pelupusan saman itu.

Dalam afidavit difailkan bagi pihak NGO terbabit, Presiden Peka Damien Thaman Divean, mendakwa perintah penggantungan sudah diserahkan kepada syarikat pemaju, YCH Development Sdn Bhd, pada 2 Sept.

Ia selepas YCH mendapat kebenaran mahkamah membenarkan mereka mencelah dalam prosiding semakan kehakiman atas alasan ia akan memberi kesan terhadap keputusan kes.

“Bagaimanapun, YCH menerusi peguam cara dalam maklum balas melalui surat bertarikh 9 Sept menyatakan kerja-kerja…berjalan seperti biasa,” kata Damien dalam afidavitnya.

Peguam cara YCH telah menulis memaklumkan mahkamah bahawa jabatan alam sekitar, pada 6 Sept, mengeluarkan arahan penguatkuasaan yang memerlukan beberapa kerja penyeliaan dan penyelenggaraan dilaksanakan di kawasan berkenaan dan mereka memohon arahan lanjut daripada hakim.

SACFS dan Peka membuat permohonan kepada Mahkamah Tinggi, pada Ogos, bagi memohon prosiding semakan kehakiman dimulakan dalam usahanya melindungi hutan simpan itu daripada dinyahwarta dan dibersihkan bagi tujuan pembangunan.

Mereka mendakwa kerajaan negeri cuba untuk menyahwarta kawasan dilindungi berkenaan melalui “prosedur tidak wajar dan menyalahi undang-undang”, dan keputusan penyahwartaan itu dibuat 22 tahun lalu, justeru ia sudah “lapuk”.

Damien berkata, kerajaan negeri bertindak melampaui kuasanya, selain mendakwa kerajaan negeri cuba mengatasi undang-undang yang memerlukan inkuiri awam sebelum penyahwartaan dilaksanakan.

Menurutnya, kawasan terbabit telah diberi milik dan dibangunkan di beberapa bahagiannya. Katanya, satu daripada entiti yang mendapat pemilikan adalah Restu Mantap Sdn Bhd.

Dalam afidavit bagi permohonan mencelah dalam prosiding kehakiman berkenaan, Pengarah YCH Yap Cheng Hoe, mendakwa syarikatnya sehingga kini sudah membelanjakan RM20 juta dalam bentuk kos dan perbelanjaan.

Katanya, YCH menyertai perjanjian usaha sama dengan Restu Mantap untuk membangunkan tanah terbabit.

Dalam usaha sama itu, katanya, syarikat sudah membayar RM8.6 juta bagi premium tanah kepada pejabat tanah negeri, yang mana RM1 juta dibayar pada Februari 2004, manakala bakinya antara Februari dan Mac 2019.

Sejumlah RM11.2 juta lagi dibelanjakan bagi pembangunan tanah, kata Yap.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.