Lagi kes ASF babi dikesan di Perak, 2 ladang disita

Lagi kes ASF babi dikesan di Perak, 2 ladang disita

Jabatan Perkhidmatan Veterinar mengesahkan kejadian penyakit African Swine Fever di dua ladang babi komersial di Kerian.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) mengesahkan jangkitan “African Swine Fever” atau ASF di dua ladang di Perak. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Dua ladang babi komersial di Kerian, Perak disita selepas Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) mengesahkan jangkitan “African Swine Fever” atau ASF, menerusi ujian pada 17 dan 18 Sept.

DVS dalam kenyataan berkata ia telah mengambil beberapa tindakan bagi mengawal dan mencegah rebakan ASF, termasuk menahan pergerakan keluar masuk babi dan kenderaan dari dua ladang tersebut, dan menjejaki kenderaan pengangkut yang terlibat dengan ladang terbabit.

Jabatan itu turut segera melupuskan baki babi di ladang berkenaan, dan seterusnya memperketat syarat pindah babi dan produk babi di Perak di seluruh Malaysia Barat.

“Wabak adalah terkawal dan jangkitan hanya berlaku di daerah Kerian. Pemindahan keluar babi dan produk babi dari zon pemantauan dikawal dengan ketat,” katanya dalam kenyataan.

DVS menasihatkan orang ramai tidak panik kerana ASF tidak berjangkit pada manusia.

Sebelum ini, kira-kira 3,000 ekor babi dari tiga ladang di dua daerah di Perak dilupuskan selepas dijangkiti ASF, kata Exco Perladangan, Pertanian, dan Industri Makanan Negeri, Razman Zakaria pada April.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.