
Kemalangan kira-kira jam 2.45 petang itu adalah yang pertama berlaku di lebuh raya berkenaan sejak dibuka secara rasmi pada 16 Sep.
Ketua Polis Ampang Jaya Farouk Eshak berkata, kejadian berlaku di laluan menghala ke Kuala Lumpur selepas pemandu kereta Perodua Myvi terbabit berhenti di lorong kecemasan untuk melihat pemandangan sekitar dan merakam gambar.
“Sebuah motosikal jenis Suzuki yang datang dari arah belakang kemudian melanggar bahagian belakang Perodua Myvi yang berhenti itu.
“Kemalangan menyebabkan dua kenderaan itu rosak manakala penunggang itu yang cedera di kaki dibawa ke Hospital Ampang bagi mendapatkan rawatan.
“Ini adalah kes kemalangan yang pertama berlaku di lebuh raya SUKE yang dibuka sejak 16 Sep,” katanya dalam kenyataan.
Farouk berkata, kes disiasat mengikut Kaedah 16 LN 166/59 iaitu halangan sehingga menyebabkan kemalangan.
Katanya, individu cuai yang telah menyebabkan kemalangan itu boleh dikompaun sehingga RM300.