
Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Aishah Ahmad berkata, persatuan itu menghargai usaha kerajaan menyokong pasaran EV, tetapi menamatkan beberapa insentif semasa pada 2023 terlalu awal.
“Kami memohon lanjutan pengecualian cukai import dan eksais sepenuhnya bagi unit siap dibina (CBU) EV, sementara pasaran sedang bersiap sedia bagi pertumbuhan EV di Malaysia.
“Kami berharap akan ada insentif sehingga 10 tahun,” katanya kepada Bernama.
Walaupun usaha untuk memasang EV sepenuhnya (CKD) mungkin sedang berjalan, angka jualan EV daripada unit CBU mula mencerminkan kenaikan pada tahun ini, apabila insentif yang diperkenalkan semasa Bajet 2022 mula memberikan impak.
Hanya 274 unit EV baharu didaftarkan pada 2021, daripada jumlah keseluruhan industri (TIV) sebanyak 508,911 unit.
Sebelum ini, Bajet 2022 menawarkan pengecualian duti import dan eksais sebanyak 100% serta cukai jalan sifar bagi EV CBU sehingga 31 Dis 2023 dan pengecualian duti 100% untuk EV CKD sehingga akhir 2025.