
Katanya, bayangan itu yang diberikan Ismail Sabri Yaakob dalam acara parti semalam merupakan petunjuk paling jelas mengenai PRU15 yang dimaklumkan secara umum.
“Umno yakin PRU15 akan berlangsung dalam tempoh tiga bulan ini (Oktober hingga Disember).
“Cuma kena cuba elak sebelum banjir. Jika banjir Disember, jangan buat (PRU15) Disember. November pun boleh pilihan raya.

“Kalau November pilihan raya, maknanya bubar (Parlimen) Oktober. Pengesahan perdana menteri dalam ucapan beliau semalam membolehkan parti membuat persiapan dan mencongak tarikh PRU15,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Semalam, Ismail ketika melancarkan jentera Pemuda Umno di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur berjanji akan segera berbincang dengan “Top Five” parti itu mengenai pembubaran Parlimen.
“Kita sudah hampir ke PRU15…percayalah sikit masa lagi. Saya mendengar dengan jelas (gesaan pembubaran),” kata Ismail semalam.
Rundingan ‘Top Five’
Ahmad mengesahkan rundingan “Top Five” Umno yang dijadualkan 30 Sept ini akan diteruskan, walaupun lima pemimpin tertinggi parti itu sering bertemu secara tidak rasmi dan tidak diumumkan di media.
“Saya yakin ucapan perdana menteri semalam bertitik tolak daripada pertemuan dan rundingan ‘Top Five’ secara tidak rasmi.
“Sebenarnya setiap kali sebelum mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno, akan diadakan dahulu mesyuarat ‘Top Five’ diikuti mesyuarat Biro Politik Umno pada sebelah petang. Itu tidak termasuk pertemuan tidak rasmi ‘Top Five’ di luar.”
“Top Five” Umno merujuk Presiden Ahmad Zahid Hamidi, Timbalannya Mohamad Hasan serta tiga naib presiden – Mohamed Khaled Nordin, Mahdzir Khalid dan Ismail.