
Katanya, pertindihan kerusi akan dielakkan menerusi rundingan kedua-dua pihak dalam usaha mencapai persetujuan dan kesepakatan bersama.
Ketua PKR Johor itu juga berkata, ketika ini PH sedang mengadakan rundingan dalam kalangan parti komponennya terlebih dahulu yang akan selesai menjelang 30 Sept.
“Rundingan sedang berlaku dan saya yang ketuai rundingan bagi pihak PKR. Soal Muda (mahu kerjasama politik dengan PH) akan melalui proses dalam PH. Maknanya perkara itu perlu dibawa kepada Majlis Presiden PH untuk dibincang dan sebagainya.
“Kemasukan atau permohonan Muda itu, tidak kira apa keputusan, akhirnya Majlis Presiden PH (akan buat keputusan) setelah melalui proses, itu tidak akan mengganggu rundingan kerusi yang akan terus berlaku,” katanya menurut Sinar Harian.
Pada PRN Johor pada Mac lalu, kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin menyaksikan pertembungan antara PKR dengan Muda, namun kedua-dua calon parti itu tewas kepada Barisan Nasional (BN).
Rafizi berkata, ketika ini PH sudah mempunyai calon daripada parti komponennya melibatkan PKR, Amanah, DAP dan Upko.
“Kita telah ada semua senarai kerusi (yang akan ditandingi PH) di seluruh Malaysia, soal bagaimana Muda ingin bekerjasama, itu akhirnya di peringkat yang seterusnya, atas sebab itu saya tidak nampak ada pertindihan kerusi kali ini,” katanya.
Ditanya bila keputusan kerjasama Muda dengan PH akan dimaklumkan, beliau berkata, perkara itu masih belum dibincangkan dan tumpuan ketika ini menyelesaikan pembahagian kerusi antara komponen PH.
Menurutnya, mana-mana pihak boleh memberikan pandangan mengenai perkara tersebut, tetapi akhirnya Majlis Presiden PH yang akan membuat keputusan dan semua pihak perlu akur.
“Ini perlu melalui proses dan saya yakin ada prosesnya. Ye la macam juga orang nak berkahwin, dia mesti merisik lepas tu meminang, tengok hantaran, jadi banyak perkara, ia akan ambil proses.
“Soal rundingan kerusi PRU15, ini semua tidak terkait dengan soal hasrat Muda untuk sertai PH. PH adalah gabungan politik yang kuat dan akan meneruskan momentum sedia ada, berkenaan Muda, ia akan diberitahu apabila sampai masanya,” katanya.