
Gerakan yang tewas semua kerusi ditandinginya pada 2018, sebelum ini terpaksa berkongsi banyak kerusi majoriti Cina dengan MCA ketika berada dalam komponen Barisan Nasional (BN). Gerakan keluar gabungan itu dan menyertai PN pada 2021.
Terdapat 13 kerusi Parlimen dan 40 kerusi DUN di Pulau Pinang untuk ditandinginya.
Ketua Gerakan Pulau Pinang, Oh Tong Keong, berkata permintaan parti dari negeri itu sudah dipanjangkan kepada pengetahuan kepimpinan Pusat.
“Pimpinan Pusat akan membincangkan perkara itu dengan kepimpinan PN,” kata Oh yang juga timbalan presiden Gerakan pada sidang media.
Dalam pada itu, Presiden Gerakan, Dominic Lau, berkata partinya sudah selesai mengumpulkan senarai kerusi mahu ditandingi pada PRU15.
“Bagaimanapun, rundingan masih berjalan dengan pimpinan komponen PN. Kita dimaklumkan supaya memberi laluan kepada penyandang mempertahankan kerusi mereka. Semua parti komponen sudah menghantar senarai kawasan ingin ditandingi. Sekiranya tidak berlaku pertembungan, kita akan mendapat semua kerusi dihasratkan,” katanya.
Gerakan mendominasi Pulau Pinang selama 39 tahun, sejak 1969 hingga 2008, sebagai pembangkang ketika era Perikatan dan menjadi komponen BN selepas 1974.
Pemerintahan parti itu di Pulau Pinang berakhir selepas tumpas kepada Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum ke-12 pada 2008. Gerakan meninggalkan BN pada 2018, selepas tewas di semua kerusi ditandinginya di seluruh negara.