Buat audit keselamatan siber ke atas kementerian, agensi kerajaan, kata Ahli Parlimen

Buat audit keselamatan siber ke atas kementerian, agensi kerajaan, kata Ahli Parlimen

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berkata, insiden penggodaman terbaharu, jika benar, menunjukkan data peribadi penjawat awam, termasuk anggota Kabinet turut berisiko didedahkan.

Fahmi Fadzil menggesa suruhanjaya siasatan diraja ditubuhkan bagi menyiasat semua insiden kebocoran data peribadi sejak lima tahun lalu.
PETALING JAYA:
Audit keselamatan siber perlu dilakukan ke atas semua kementerian dan agensi kerajaan susulan laporan Sistem Penyata Gaji penjawat awam dibolosi, kata Fahmi Fadzil.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, jika dakwaan itu benar, ini bermakna data peribadi penjawat awam, termasuk anggota Kabinet berisiko didedahkan.

“Perdana menteri perlu mengarahkan semua kementerian dan agensi kerajaan segera melakukan audit keselamatan siber bagi mengenal pasti dan menutup segala kelompongan atau eksploit keselamatan siber yang membolehkan penjenayah siber terus mencuri data peribadi rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Beliau turut meminta Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob memberi penjelasan berhubung perkara itu dalam sidang Parlimen akan datang.

Katanya, menteri kewangan serta menteri komunikasi dan multimedia perlu meneliti mekanisme denda atau hukuman lebih berat terhadap pengendali pangkalan data peribadi yang gagal menjamin keselamatan data dalam kendalian mereka, selain memberi pampasan atau ganti rugi kepada mangsa jenayah kecurian data peribadi.

Beliau mengulangi gesaan untuk kerajaan menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi menyiasat semua insiden kecurian data peribadi di Malaysia dalam lima tahun ini.

“Apabila kita sedar tiga daripada empat insiden kecurian data peribadi tahun ini dipercayai melibatkan agensi kerajaan, maka kerajaan mesti meminda Akta Perlindungan Data Peribadi 2010, dengan tidak mengecualikan kerajaan persekutuan dan negeri daripada tertakluk kepada akta ini.”

Semalam, FMT melaporkan polis melancarkan siasatan ke atas dakwaan sekumpulan penggodam mendakwa mereka memiliki data peribadi dan butiran gaji beberapa menteri, Ahli Parlimen serta penjawat awam.

Akhbar Sin Chew Daily melaporkan kumpulan itu memaklumkan Putrajaya pada 7 Sept lalu bahawa Sistem Penyata Gaji penjawat awam diceroboh dan meminta kerajaan memberi maklum balas pada 12 Sept.

Kumpulan itu berkata, mereka sudah menghantar e-mel kepada Ketua Setiausaha Negara, Zuki Ali, Ketua Pengarah Keselamatan Kerajaan, Rahimi Ismail dan pejabat ketua audit negara berhubung perkara itu.

Tetapi, penggodam berkenaan mendakwa kerajaan memutuskan untuk menutup sistem data gaji penjawat awam, bukannya menghubungi mereka, oleh itu mereka dilaporkan merancang untuk menjual data peribadi itu mulai 19 Sept ini.

Ketua Polis Daerah KLIA, Imran Abd Rahman dilaporkan berkata, satu laporan polis berhubung kejadian itu diterima daripada Jabatan Audit Negara.

Katanya, kes itu sedang disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan atas ugutan jenayah serta Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997 kerana akses tanpa kebenaran dengan niat melakukan kesalahan lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.