Bapa kini disiasat ugut, pukul ibu pelakon remaja

Bapa kini disiasat ugut, pukul ibu pelakon remaja

Semalam lelaki itu ditahan polis Klang Utara bagi membantu siasatan kes amang seksual dan cabul terhadap anaknya berusia 15 tahun.

Lelaki berusia 43 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Petaling Jaya petang tadi. (Gambar AFP)
PETALING JAYA:
Bapa kepada pelakon remaja perempuan yang ditahan polis Klang Utara, semalam, kini dirujuk kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya untuk siasatan kes ugut dan pukul ibu pelakon itu.

Timbalan Ketua Polis Petaling Jaya, Ku Mashariman Ku Mahmood, berkata lelaki berusia 43 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Petaling Jaya di perkarangan IPD Klang Utara, 4.10 petang tadi.

“Tangkapan terhadap suspek berkenaan adalah bagi membantu siasatan laporan polis dibuat oleh bekas isterinya.

“Kita membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan mendatangkan kecederaan dan ugutan jenayah. Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret di sini bagi memohon reman, esok,” katanya menurut Harian Metro.

Semalam, lelaki itu ditahan polis Klang Utara bagi membantu siasatan kes amang seksual dan cabul terhadap mangsa berusia 15 tahun terbabit.

Pada 12 Sept, bapa kepada pelakon remaja perempuan itu dirujuk ke IPD Shah Alam susulan laporan dibuat mangsa yang mendakwa dipukul menggunakan penyangkut baju pada 2014.

Ketua Polis Shah Alam, Mohd Iqbal Ibrahim, dipetik berkata mangsa membuat laporan itu pada 8 Sept.

Sebelum ini, media melaporkan suspek berkenaan ditahan pada 6 Sept atas dakwaan melakukan gangguan seksual terhadap anaknya.

Suspek ditahan di kediamannya di Kedah dan polis turut merampas telefon bimbit suspek dan dihantar ke Jabatan Forensik polis untuk dianalisa.

Baru-baru ini, pelakon itu menerusi satu temu bual di YouTube, mendedahkan sikap buruk bapanya yang didakwa melakukan gangguan seksual terhadapnya selain turut memperlakukan ibunya dengan teruk.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.