
Perwakilan Negeri Sembilan, Abdul Latiff A Tambi, berkata kebanyakan mereka yang menjadi ADUN atau Ahli Parlimen ketika ini “berpeluk tubuh” kerana selesa dengan kedudukan sekarang.
“Nyahkan calon jenis ‘play safe’, orang macam ini sepatutnya diketepikan, dia tidak memperjuangkan rakyat.
“Calon ‘play safe’ ialah mereka yang jadi Ahli Parlimen atau ADUN, lebih ke arah memanaskan tempat duduk selama empat tahun dan masuk tahun kelima, barulah pergi mendampingi masyarakat…barulah jumpa orang,” katanya ketika membahaskan pidato presiden sempena Konvensyen Nasional Amanah 2022.
Beliau yang juga ketua Amanah Tampin turut memberi contoh semasa demo bantahan harga barang naik di Kampung Baru, Kuala Lumpur Julai lalu dengan kehadiran pemimpin atau calon terlalu sedikit.
Katanya, beliau agak kecewa dengan pemimpin seperti ini seolah-olah tidak peduli nasib dialami rakyat ketika ini.
“Jadi, atas sebab itulah saya memaklumkan tadi (perbahasan pidato presiden), nyahkan pemimpin yang tidak berjuang kerana mereka terarah kepada agenda peribadi.
“Bagi mereka sudah mendapat tempat sebagai ADUN atau Ahli Parlimen namun tidak menjalankan tugas, cukuplah…biarlah yang benar-benar merasai nadi rakyat untuk bertanding.
“Kasihani rakyat yang mengharapkan pembelaan bukan setakat menyantuni seperti melepaskan batuk di tangga,” katanya.