Adakah masalah kaum hanya berpunca daripada mereka, soal pemimpin PSM

Adakah masalah kaum hanya berpunca daripada mereka, soal pemimpin PSM

Kesenjangan kaum bukan berlaku terhadap satu-satu kaum sahaja, dalam PKS yang mewujudkan 60% pekerjaan, 90% daripadanya diisi Cina Malaysia.

Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM) Dr Michael Jeyakumar Devaraj, berkata menyokong penuh pendekatan dasar ekonomi dan sosial bukan perkauman, bagaimanapun perbezaan dalam negara tidak boleh diketepikan.
PETALING JAYA:
Rakyat Malaysia dan pemimpin politik dituntut bermuhasabah dalam membicarakan masalah perkauman dan bukannya sewenang-wenang memburukkan “satu sama lain”.

Selama 60 tahun politik berasaskan kaum mengakibatkan semua rakyat Malaysia dalam kepungan “kuasa gelap” dalam diri mereka, kata Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM) Dr Michael Jeyakumar Devaraj, dalam forum awam.

“Tetapi, adakah kita mahu gambarkan hanya populasi Melayu sahaja mempunyai kuasa gelap?” kata Jeyakumar. “Bagaimana dengan bukan Melayu? Bukankah kita semua terkesan dengan dasar berasaskan etnik dan kaum?”

Jeyakumar berkata demikian sebagai panelis dalam forum “Dark Forces Towards GE15” yang dianjurkan susulan pelancaran buku tulisan Murray Hunter dan Lim Teck Ghee.

Katanya, kesenjangan kaum berlaku terhadap semua dan bukannya hanya tertumpu kepada satu-satu komuniti sahaja.

“Sebagai contoh, 60% daripada pekerjaan di Malaysia adalah dalam perusahaan kecil dan sederhana (PKS), namun 90% daripada pekerja dalam PKS tempatan adalah Cina Malaysia.

“Bukankah ini sesuatu yang sepatutnya negara lihat untuk diselesaikan, memandangkan PKS mewakili 40% Kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), tetapi hampir keseluruhannya adalah Cina?” katanya.

Jeyakumar berkata, beliau menyokong penuh pendekatan dasar ekonomi dan sosial bukan perkauman, bagaimanapun perbezaan dalam negara tidak boleh diketepikan.

Katanya, timbul tidak puas hati terhadap Dasar Ekonomi Baru (DEB), pada 1970-1990. Namun, dasar itu dilihat cubaan adil untuk melaksanakan tindakan afirmatif meskipun tidak sempurna, mengambil kira kesannya ketika itu.

“Pada 1960, hanya 5% sahaja doktor adalah Melayu, dan ia perlu ditangani. Bagi kita mengatakan (DEB) semuanya adalah perkauman bukan sikap empati kepada realiti apa yang mereka mahukan,” katanya.

“Kita memerlukan empati dan berhenti memburukkan satu sama lain. Bila pihak lain memburukkan kita dan kita membuat perkara sama, akhirnya (kita) tak bercakap.”

Beliau juga mempersoalkan sudut pandang Barisan Nasional sudah “merosakkan negara sejak 1957” dan mempersoal sama ada pandangan itu masih boleh diterima.

Jeyakumar berpandangan tidak cukup penghargaan diberikan atas apa yang sudah dilaksanakan. Sejak 1970, KDNK Malaysia berkembang 30 kali ganda, manakala perlindungan sosial, Perkeso sudah diperkenalkan, pada 1969.

“Orang ini buat kesalahan, ya, mereka kleptokrat, tapi adakah yang dilakukan sebelum ini semuanya negatif?” katanya. “Jika anda ingin berunding dengan pihak lain, anda perlu iktiraf kebaikannya juga.”

Beliau juga menyeru ahli pembangkang turut bermuhasabah.

Merujuk kepada pengurangan sokongan pengundi Melayu terhadap Pakatan Harapan dari 25%, pada Mei 2018 kepada 7% dua tahun kemudian, Jeyakumar bertanya:

“Adakah penurunan (sokongan) kerana Bersatu keluar? Atau tindakan keluar Bersatu punca kepada penurunan? Cuba fikir baik-baik, ketika kita berkuasa; mengapa kita tidak dapat menyatukan sokongan 25% Melayu?”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.