Jasad Samy Vellu selamat disemadi

Jasad Samy Vellu selamat disemadi

Samy Vellu yang dilahirkan pada 8 Mac 1936 meninggal dunia kira-kira 7 pagi semalam di kediamannya pada usia 86 tahun.

Jasad bekas presiden MIC S Samy Vellu disemadikan menerusi upacara pembakaran di Krematorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Cheras, kira-kira 5.30 petang ini.
KUALA LUMPUR:
Jasad bekas presiden MIC S Samy Vellu, yang meninggal dunia semalam, selamat disemadikan menerusi upacara pembakaran di Krematorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Cheras, kira-kira jam 5.30 petang ini.

Terdahulu, jasad mendiang dibawa menaiki van dari kediamannya di Jalan Ipoh, bermula 3.30 petang dan singgah sebentar di Ibu Pejabat MIC di Jalan Rahmat bagi memberi peluang kepada orang ramai memberikan penghormatan terakhir sebelum tiba di krematorium pada 4.28 petang.

Suasana hiba menyelubungi upacara selama sejam di krematorium itu yang dihadiri kira-kira 300 orang antaranya ahli keluarga, Menteri Sumber Manusia M Saravanan, Presiden MIC SA Vigneswaran, Ketua Puteri MIC R Shaliny, penyanyi tersohor Dj Dave dan penulis lirik terkenal dari India R Vairamuthu.

Mendiang meninggalkan isteri Toh Puan R Indrani dan seorang anak perempuan, S Mangayarkarasi dan anak lelaki, S Vell Paari.

Samy Vellu yang dilahirkan pada 8 Mac 1936 meninggal dunia kira-kira 7 pagi semalam di kediamannya pada usia 86 tahun.

Samy Vellu yang memimpin MIC dari 1981 hingga 2010 merupakan antara pemimpin paling lama memegang jawatan dalam Kabinet, iaitu kira-kira tiga dekad bermula sebagai menteri kerja raya pada 1979.

Vigneswaran, yang kelihatan sebak, menyifatkan mendiang Samy Vellu sebagai seorang ayah dalam kepimpinan parti itu yang tiada galang gantinya.

“Mendiang telah mendidik kami sejak menjadi anggota Pemuda lagi untuk mengambil alih pimpinan parti dan perjuangan parti demi meningkatkan taraf kehidupan masyarakat India,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri upacara itu.

Vigneswaran juga berkongsi sifat kepimpinan bekas menteri kerja raya itu yang mempunyai semangat patriotik yang tinggi dan tidak mementingkan diri sendiri malah mendiang adalah seorang insan istimewa.

Dalam pada itu, beliau berkata satu program yang akan disertai oleh lebih 20,000 orang dijangka diadakan dalam masa terdekat bagi memberikan penghormatan kepada mendiang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.