Tiada campur tangan politik lantik pengarang kumpulan NST, kata Media Prima

Tiada campur tangan politik lantik pengarang kumpulan NST, kata Media Prima

Pengerusinya, Syed Hussian Aljunid, juga menafikan sebarang pembabitan kerajaan mahupun Umno dalam melantik Farrah Naz Karim.

Pengerusi Kumpulan Media Prima Syed Hussian Aljunid nafi ada pembabitan kerajaan mahupun Umno dalam melantik pengarang kumpulan NST.
PETALING JAYA:
Pengerusi Media Prima Syed Hussian Aljunid menafikan laporan berlakunya “campur tangan politik” berhubung pelantikan Pengarang Kumpulan New Straits Times (NST) Farrah Naz Karim.

Dalam kenyataan, Syed Hussian menafikan sebarang pembabitan kerajaan atau Umno dalam melantik Farrah atau sebarang keputusan dibuat Media Prima.

“Sebarang tanggapan berhubung pelantikannya merupakan campur tangan politik dalam Media Prima tidak wajar dan tidak berasas sama sekali,” katanya.

“Untuk rekod, Media Prima tidak dimiliki dan tidak melapor kepada Umno seperti yang didakwa dalam beberapa laporan berita sebelum ini atau sebaliknya.”

Beliau menekankan sebagai sebuah organisasi berita, hala tuju editorial dan usaha sinergi untuk meningkatkan kualiti produk akhir adalah perkara yang sentiasa memerlukan semakan oleh pengurusan di bawah penyeliaan lembaga pengarah syarikat.

“Pertukaran kakitangan, terutama di peringkat akhir eksekutif piramid bakat kami adalah bahagian yang tidak dapat dielakkan dalam semakan ini. Pelantikan ini sentiasa dilakukan semata-mata berdasarkan merit.

“Atas dasar itulah, pihak pengurusan melantik Farrah Naz sebagai Pengarang Kumpulan baharu NST.”

Syed Hussian berkata, Farrah mempunyai pengalaman 20 tahun dalam operasi bilik berita, sambil menyatakan beliau juga merupakan wartawan pertama dari akhbar berbahasa Inggeris yang berjaya meraih kejayaan berprestij, Anugerah Kajai.

Sebelum ini, The Vibes melaporkan Ahmad Lokman Mansor disingkirkan sebagai pengarah kumpulan susulan “dakwaan campur tangan dari pemimpin berpengaruh Umno”.

Memetik sumber, laporan itu mendakwa Lokman tidak melindungi kepentingan Umno memandangkan pihak editorial menyokong badan kehakiman, peguam negara dan kedaulatan undang-undang “bebas diamalkan” membabitkan kes SRC International Najib Razak.

Bekas perdana menteri itu yang juga bekas presiden Umno, Najib sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dalam kes rasuah SRC International, pada 23 Ogos.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.