Penculikan ejen kosmetik dipercayai ada kaitan sindiket dadah, kata polis

Penculikan ejen kosmetik dipercayai ada kaitan sindiket dadah, kata polis

Suami mangsa berusia 36 tahun yang bekerja sebagai nelayan bersama dua individu termasuk seorang wanita turut ditahan semalam bagi membantu siasatan.

Pemangku Ketua Polis Kelantan Muhamad Zaki Harun berkata, penculikan ejen kosmetik disyaki ada kaitan dengan sindiket dadah. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Penculikan seorang ejen kosmetik dari rumahnya di Wakaf Bharu, Kelantan petang kelmarin disyaki ada kaitan dengan sindiket dadah, dedah Pemangku Ketua Kelantan, Muhamad Zaki Harun.

Beliau berkata, ini kerana hasil siasatan mendapati, keluarga terdekat kepada wanita terbabit yang juga mangsa penculikan, dipercayai ada kaitan dengan sindiket berkenaan.

Berikutan itu katanya, polis menahan suami mangsa berusia 36 tahun yang bekerja sebagai nelayan bersama dua individu termasuk seorang wanita, semalam bagi membantu siasatan.

“Hasil siasatan juga mendapati, mangsa mengenali suspek yang menculiknya,” katanya menurut Utusan Malaysia.

Zaki berkata, hasil semakan mendapati suami mangsa mempunyai dua rekod kesalahan lampau manakala seorang lagi suspek lelaki, mempunyai tujuh rekod lampau.

Katanya, semua suspek direman empat hari bagi membantu siasatan berhubung kejadian tersebut.

Semalam, media melaporkan, seorang ejen jualan produk kosmetik dilarikan tiga lelaki dalam kejadian di Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu, Kelantan.

Rosnazirah Mohd Naim, 36, dilarikan tiga lelaki yang menaiki sebuah kereta jenis Toyota Vios berwarna perak.

Tiga suspek bersenjatakan pistol dan pisau rambo dikatakan datang ke rumah mangsa sebelum mengetuk pintu.

Suspek kemudian menarik mangsa lalu dibawa masuk ke dalam kereta dan dilarikan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.