Minta suapan RM3,000 dari banduan, pegawai penjara ke tirai besi

Minta suapan RM3,000 dari banduan, pegawai penjara ke tirai besi

Zamri Abdullah meminta RM3,000 daripada seorang banduan yang didapati positif dadah supaya tindakan tidak diambil terhadapnya.

Mahkamah Rayuan memutuskan sabitan terhadap pegawai penjara, Zamri Abdullah oleh mahkamah rendah adalah selamat. (Gambar fail)
PUTRAJAYA:
Seorang pegawai penjara diperintahkan menjalani hukuman penjara tiga tahun mulai hari ini, selepas gagal dalam rayuan terakhirnya untuk mengetepikan sabitan bersalah menerima RM3,000 sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap banduan yang didapati positif dadah.

Zamri Abdullah, 43, memeluk isterinya yang sebak, sebelum dibawa ke lokap mahkamah.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Abdul Karim Abdul Jalil berkata, hakim Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi tidak melakukan sebarang kesilapan undang-undang untuk campur tangan rayuan.

“Tiada merit dalam rayuan dan sabitan adalah selamat,” kata Karim yang bersidang bersama See Mee Chun dan Azizul Azmi Adnan.

Panel itu mengeluarkan waran komital untuk Zamri memulakan hukuman penjaranya.

Pada 18 Mei 2018, Zamri dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM15,000. Dia sudah membayar denda itu.

Dia melakukan kesalahan itu di kuarters kakitangan penjara Pengkalan Chepa kira-kira 10.15 malam 20 Dis 2016.

Mengikut fakta kes, banduan Wan Azlan Wan Muhammad, yang sedang menjalani hukuman penjara lapan tahun atas kesalahan dadah, didapati positif dadah pada 12 Nov 2016.

Zamri meminta RM3,000 daripada Azlan supaya tidak mengambil tindakan terhadapnya.

Azlan kemudian mengatur wang itu untuk diberikan kepada Zamri melalui seorang kawan.

Tetapi, pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia memasang perangkap dan Zamri ditahan dengan wang itu dalam kuartersnya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wong Poi Yoke, manakala Zamri diwakili peguam Shaharuddin Mohamed dan Cheah Poh Loon.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.