
Bekas menteri kesihatan dan bekas presiden MIC, Dr S Subramaniam berkongsi berita sedih itu di Facebooknya.
“Dengan rasa sedih dan pilu, saya menerima berita tragis pemergian Samy Vellu, bekas presiden MIC dan menteri lagenda dalam Kabinet Malaysia daripada anaknya, Vell Paari,” menurut catatan di Facebook Subramaniam.
“Bagi kebanyakan daripada kami, beliau ialah mentor terakhir.”
Samy Vellu memimpin MIC selama 31 tahun, dari 1979 hingga 2010.
Beliau juga antara menteri Kabinet paling lama berkhidmat, iaitu selama 29 tahun.
Beliau dilantik sebagai menteri kerja raya dari 1979 hingga 1989 dan 1995 hingga 2008, serta menteri tenaga, komunikasi dan pos dari 1989 hingga 1995.
Selain itu, Samy Vellu merupakan Ahli Parlimen Sungai Siput dari 1974 hingga 2008.
Bekas setiausaha akhbarnya, E Sivabalan berkata, mereka yang ingin memberi penghormatan terakhir boleh berbuat demikian mulai 2 petang ini di kediaman Samy Vellu di 19, Lengkongan Vethavanam, Batu 3 1/2, Jalan Ipoh, 51100 Kuala Lumpur.
Beliau dalam kenyataan berkata, mayatnya akan tiba di krematorium DBKL, Cheras pada 4 petang nanti.