5 hari berjalan, veteran tentera serah memorandum kepada pejabat PM

5 hari berjalan, veteran tentera serah memorandum kepada pejabat PM

Kumpulan veteran tentera itu berjalan kaki dari Perak ke Putrajaya untuk menyerahkan memorandum menuntut penambahbaikan terhadap kebajikan veteran.

Presiden PSPRM Mior Rosli Mior Jaafar berjabat tangan dengan Syed Fazmi Sayid Mohammad selepas menyerahkan memorandum.
PUTRAJAYA:
Selepas perjalanan selama lima hari yang memenatkan, sekumpulan veteran tentera yang berjalan kaki dari Simpang Pulai, Perak, akhirnya tiba di Pejabat Perdana Menteri (PMO) di Putrajaya untuk menyerahkan memorandum yang menggesa agar perlindungan kebajikan bagi veteran ditambah baik.

Memorandum itu diterima oleh Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, Syed Fazmi Sayid Mohammad yang berkata, Ismail tidak dapat hadir kerana mempunyai komitmen lain.

“Saya akan sampaikan memorandum ini kepada perdana menteri,” kata Syed Fazmi, sambil menambah, beliau berbangga dengan veteran yang telah berjalan kaki jauh dari Perak.

Presiden Pertubuhan Suara Patriotik Rakyat Malaysia (PSPRM) Mior Rosli Mior Jaafar bagaimanapun kecewa kerana perdana menteri sendiri tidak dapat menerima memorandum itu.

“Jika kerajaan tidak mahu mendengar (suara kami), kami akan (bawa perkara ini) ke mahkamah, kerana yang kami perjuangkan mengikut undang-undang. Biarlah mahkamah tentukan perkara itu.

“Tetapi jika perdana menteri memutuskan untuk menyelesaikan perkara ini secepat mungkin, alhamdulillah, kami tidak akan membawa perkara ini ke mahkamah,” kata Mior.

Pagi tadi, lebih 100 veteran dari seluruh Malaysia berkumpul di Masjid Putra sebagai tanda solidariti dengan 25 veteran yang berjalan kaki dari Perak, sebelum berarak ke Seri Perdana bersama-sama.

Mereka berarak sambil menyanyikan lagu patriotik beramai-ramai, diselangi laungan “Veteran!” dan “Bangkit!”.

Beberapa kenderaan turut menunjukkan sokongan dengan membunyikan hon ketika melepasi perarakan.

Setibanya di Pejabat Perdana Menteri, kumpulan itu menyanyikan lagu Negaraku serta membaca doa sebelum menyerahkan memorandum berkenaan.

Vasanthi Magadalane dan Mohd Yusoff Abd Rani yang mengetuai perarakan dari Perak ke Putrajaya.

Jurucakap kumpulan itu, Vasanthi Magadalane, menzahirkan rasa terima kasihnya atas semua bantuan yang diterima kumpulan itu sepanjang perjalanan mereka.

“Apabila kami mula (berjalan), kami tidak tahu di mana kami akan menginap setiap malam, tetapi begitu ramai orang tampil memberi kami tempat tinggal dan makanan. Setiap hari mereka datang bantu kami,” kata Magadalane.

Beliau berkata, veteran tentera telah merayu kepada kerajaan untuk menyelesaikan perkara berkaitan kebajikan mereka sejak lapan tahun lalu, tetapi tiada hasil.

Ini mendorong kumpulan itu berarak dari Perak ke Putrajaya untuk menunjukkan betapa pentingnya tuntutan mereka dipenuhi.

Tuntutan mereka termasuk memperbetul anomali pencen bagi veteran yang bersara sebelum 2013, sejajar dengan pencen yang lebih tinggi diberikan kepada veteran yang bersara selepas Akta Pencen dipinda tahun itu.

Kumpulan itu juga menggesa agar pencen diberikan kepada veteran yang tidak melengkapkan 21 tahun perkhidmatan seperti diperlukan, dan mengampuni mereka yang diberhentikan kerana melakukan kesalahan ketenteraan kecil.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.