
Dalam video di Facebook, Zaid berharap Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, memastikan Najib diberi ubatan yang sesuai dengan penyakitnya. Ahli Parlimen Pekan itu ketika ini sedang dirawat di Hospital Kuala Lumpur.
“Takkanlah bekas perdana menteri pun tak boleh diberi ubat yang dia pakai selalu? Tak usahlah bagi ubat generik.
“Kalau kita beri sedikit keistimewaan kepada dia pun, apa salahnya? Ini bukan (layanan) luar biasa.”
“Kita perlu adil kepada semua, termasuk banduan, terutama jika banduan itu bekas perdana menteri. Dia ada jasa juga kepada kita,” kata Zaid, yang pernah menjadi sebahagian daripada pasukan peguam Najib dalam rayuan kes SRC International.
Semalam, perbicaraan Najib bagi kes 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ditangguh selepas beliau dimasukkan ke HKL kelmarin.
Peguamnya, Shafee Abdullah, memberitahu mahkamah bahawa tekanan darah Najib “tidak menentu” dan doktor masih belum mengetahui puncanya.
Kemudian, Khairy pada sidang media berkata HKL memberikan ubat tekanan darah tinggi generik kepada Najib, menegaskan bahawa formula ubat itu sama dengan ubat yang diambilnya sebelum ini.
Katanya lagi, Najib dulu mengambil ubat yang dibeli daripada hospital swasta, dan hospital kerajaan pula memberikan ubat dengan formula sama.
Najib sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan pensabitan kes SRC International.