Tak dibenar masuk Kem Terendak, 2 bekas askar British minta bantuan Kementah

Tak dibenar masuk Kem Terendak, 2 bekas askar British minta bantuan Kementah

Frank Robinson dan David Priestley berharap Kementerian Pertahanan akan membuat pengecualian agar mereka dapat mengimbau kenangan indah masa lalu di kem itu.

Frank Robinson (kiri) dan David Priestley berharap untuk dibenarkan membuat lawatan singkat ke Kem Terendak untuk mengimbau kenangan indah mereka di sana pada tahun 60-an.
MELAKA:
Dua bekas askar British yang berkhidmat di Malaysia lebih 60 tahun lalu datang semula ke negara ini dengan harapan dapat mengimbau kenangan yang tidak dapat mereka lupakan, termasuk salah seorangnya yang berkahwin di Kem Terendak.

Frank Robinson, 80 dan David Priestley, 73, berpangkalan di Kem Terendak, Melaka dan di Johor War School, Johor Bahru dari 1961 hingga 1969.

Malangnya, hasrat mereka untuk mengunjungi semula bekas kem tentera mereka itu terhalang apabila tidak dibenarkan masuk oleh anggota sentri polis tentera tengah hari semalam.

Mereka diberitahu agar mendapatkan kebenaran daripada Kementerian Pertahanan terlebih dahulu.

Robinson dan Priestley, yang menginap di Hotel Ibis di Melaka, khuatir mereka tidak cukup masa untuk membuat permohonan dan mendapatkan kebenaran mengunjungi kem itu kerana mereka akan pulang ke Yorkshire, England, pada Ahad.

Gambar Frank Robinson dan komradnya di Melaka pada awal 1960-an.

“Kami ambil masa dua hari untuk sampai ke sini. Saya tak tahu sama ada kami dapat mengunjungi kem itu sebelum pulang,” kata Robinson, bekas sarjan yang berkahwin di kem itu pada 1963.

Beliau mempunyai dua anak dengan isterinya Edith, yang meninggal dunia pada Mei.

“Saya antara askar terakhir yang meninggalkan (Malaysia) kerana anak saya tidak boleh melakukan perjalanan sehingga berusia enam bulan,” katanya.

Kedua-dua veteran tentera itu, yang memahami dan menerima alasan mereka tidak dibenarkan masuk, berharap Kementerian Pertahanan akan membuat pengecualian supaya mereka dapat memenuhi impian mereka.

“(Ia akan menjadi) sangat bermakna sekalipun kami hanya dibenarkan membuat lawatan singkat. Ia akan menjadi pengalaman yang memuaskan,” tambah Robinson

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.