
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohammad Azlan Abdullah berkata, tarikh itu akan diumumkan pada majlis yang disempurnakan Menteri Kerja Raya Fadillah Yusof.
“SUKE berjarak 24.4km dari Sri Petaling ke Jalan Hulu Kelang,” katanya pada taklimat media.
Tambahnya, lebuh raya itu merentasi laluan sepanjang 57.7km termasuk tanjakan persimpangan.
Sebaik dibuka, lebuh raya itu dijangka dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) sebanyak 30% pada waktu puncak, serta Jalan Ampang (30%) dan Jalan Loke Yew (12%).
Azlan berkata, ini dijangka mengurangkan masa perjalanan dengan ketara, katanya.
SUKE mempunyai tiga lorong, masing-masing berukuran 3.5m, dengan tambahan lorong kecemasan 3m di kedua-dua belah untuk ambulans dan kenderaan kecemasan.
Lebuh raya itu mempunyai 14 persimpangan menghubungkan Sri Petaling, Sungai Besi, Alam Damai, Cheras-Kajang, Cheras-Hartamas, Bukit Teratai, Tasik Tambahan, Permai, Kosas, Pekan Ampang, Ampang Point, Hulu Kelang, Taman Hillview dan Bukit Antarabangsa.
Ia juga akan menghubungkan lapan lebuh raya lain, iaitu MRR2, Lebuhraya Shah Alam (Kesas), Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban, Lebuhraya Sungai Besi (Besraya), Lebuhraya Cheras-Kajang (CKE), Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (Akleh), Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) dan Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE), yang masih dalam pembinaan.
“Penduduk di Kajang akan dapat membuat perjalanan sehingga ke Bukit Antarabangsa tanpa perlu menggunakan MRR2,” kata Azlan.
Katanya, pembinaan lebuhraya itu yang bermula Ogos 2016, telah menyediakan kira-kira 10,000 peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang, daripada pengurusan sehingga kejuruteraan.