Majlis Peguam ‘kurang ajar’ desak Agong tolak permohonan ampun Najib, kata Zaid

Majlis Peguam ‘kurang ajar’ desak Agong tolak permohonan ampun Najib, kata Zaid

Zaid Ibrahim mempersoalkan motif kumpulan pendesak dan menyeru Umno berani dan tegas mempertahankan kuasa raja-raja Melayu.

Zaid Ibrahim berkata beliau sedih tekanan yang dibuat terhadap Yang di-Pertuan Agong untuk melaksanakan kuasa yang diperuntukan kepada baginda dalam proses pengampunan.
PETALING JAYA:
Zaid Ibrahim menyelar Majlis Peguam berhubung kenyataan yang mencadangkan pengampunan diraja ke atas Najib Razak akan mempersenda kedaulatan undang-undang dan pentadbiran keadilan.

“Sekali lagi kita mendengar tekanan-tekanan daripada kumpulan pendesak, misalnya daripada Majlis Peguam,” kata peguam itu. “Apakah motif mereka ini?”

Beliau berkata, kuasa pengampunan itu suatu penghormatan yang diberi oleh undang-undang kepada Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja Melayu, dan kuasa itu kena dihormati semua rakyat.

“Presiden AS, Donald Trump, sendiri mengampuni 70 orang dalam sepenggal pentadbirannya. Tak ada pun orang kata sistem undang-undang AS pincang,” katanya di Facebook, mengingatkan bahawa antara yang diampuni Trump individu yang menyebabkan kematian kanak-kanak Iraq.

“Tak ada pun siapa mengatakan sistem keadilan AS pincang, kerana mereka menghormati kuasa pengampunan yang diberi kepada ketua negara.

“Saya sedih tekanan yang dibuat kepada Agong. Ini sudah melampau. Seolah-olah ini tekanan supaya pengampunan tidak diberi. Ini sudah kurang ajar.

“Kita hormatlah (kuasa itu). Tuanku tahu. Baginda nak ampun kah, tidak ampun kah, (itu pertimbangan) baginda. Sebab itu dia Agong, sebab itu dia ketua negara,” katanya.

Zaid khuatir pihak-pihak yang cuba ‘mengajar’ Agong akan mempertikaikan sesuatu keputusan baginda suatu hari nanti.

“Jadi kalau raja-raja Melayu dipertikaikan sampai itu, apa akan jadi dengan negara ini?” katanya.

Zaid menyeru Umno supaya berani dan tegas mempertahankan Agong dan raja-raja Melayu daripada pihak-pihak yang mempersoalkan mereka tentang kuasa Istana.

“Jangan kita dikata orang ‘kita (Umno) takut…kita kena ada prinsip,” katanya.

Majlis Peguam dalam kenyataan semalam, berkata Najib tidak layak diberi pengampunan diraja kerana beliau baru sahaja menjalani hukuman penjara, bukan seperti ahli politik lain, seperti Anwar Ibrahim, Harun Idris, dan Mokhtar Hashim.

Tiga ahli politik itu menjalani sebahagian daripada hukuman penjara masing-masing sebelum diampuni dan dibebaskan.

Presidennya, Karen Cheah, berkata pengampunan penuh pada peringkat seawal ini akan dilihat pra-matang kerana Najib masih berdepan tuduhan-tuduhan lain, mengatakan ia akan menetapkan suatu “duluhan yang berbahaya” seolah-olah ahli politik “mengatasi undang-undang”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.