
“Para hakim dalam apa jua cubaan perlu kekal setia kepada Perlembagaan Persekutuan dan tegas mendukung kedaulatan undang-undang,” katanya pada majlis memperingati Salleh, yang meninggal dunia awal tahun lalu.
Kental untuk memelihara kebebasan badan kehakiman, Salleh disingkirkan daripada kedudukan tertingginya dalam badan kehakiman, bersama lima lagi hakim Mahkamah Persekutuan, ketika Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri, sekali gus mencetuskan krisis Perlembagaan.
Tahun 1988 sentiasa akan diingati sebagai sejarah hitam dalam sejarah badan kehakiman negara dan episod itu, termasuk kesannya mesti dijadikan pengajaran kepada keseluruhan persaudaraan undang-undang, kata Tengku Maimun.
“Kita terkejut dengan penyingkiran Salleh. Akibatnya, ia membawa kepada pergolakan sistem kehakiman negara dan merupakan tamparan hebat kepada badan kehakiman dan Perlembagaan,” katanya.
Katanya, di bawah pentadbiran Salleh, badan kehakiman menjadi model kepada kebebasan.
“Sebagai hakim dan lord president (yang dipertua Mahkamah Persekutuan), Allahyarham melalui penghakiman yang dibuatnya manakala prinsip dan kanun dikemukakannya diteruskan sehingga ke hari ini,” katanya.
Sebagai pembela kepada fungsi badan kehakiman, beliau berkata, Salleh sentiasa mengingatkan setiap hakim perlu menghormati konsep pemisahan kuasa.
Peguam Negara Idrus Harun, Presiden Badan Peguam Karen Cheah dan cucu kepada Salleh, Nuralissa Norrazak, juga berucap sebagai memperingati Salleh.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Mas Ermieyati Samsudin, bekas ketua hakim negara, Raus Sharif dan bekas peguam negara, Tommy Thomas.
Salleh, yang dilahirkan dari Kampung Raja, di Besut, Terengganu, meninggal dunia pada 16 Jan 2021, di Hospital Sultanah Nur Zahirah, di Kuala Terengganu, dua hari selepas didapati positif Covid-19. Beliau berusia 91 tahun.
Allahyarham berkhidmat sebagai Yang Dipertua di Mahkamah Persekutuan, bermula 1984 hingga 1988. Jawatan itu kemudian ditukar kepada ketua hakim negara.
Sebelum itu, Allahyarham pernah berkhidmat sebagai majistret dan dilantik timbalan pendakwa raya di Pejabat Peguam Negara.
Salleh pernah terjun seketika dalam politik selepas menang kerusi Dewan Undangan Negeri Jerteh, di Terengganu, di bawah tiket PAS, pada pilihan raya umum 1999 dan dilantik Exco ketika PAS berkuasa.