Akar umbi atau ‘panglima’ Umno lebih penting kepada PM?

Akar umbi atau ‘panglima’ Umno lebih penting kepada PM?

Azmi Hassan berkata, perdana menteri dapat bertahan, jika beliau mempunyai sokongan akar umbi, tetapi James Chin berkata, sokongan Ahli Parlimen lebih penting.

Perwakilan yang menghadiri Perhimpunan Agung Umno pada Mac lalu.
PETALING JAYA:
Dua penganalisis politik berbeza pendapat sama ada akar umbi atau “panglima” parti lebih penting kepada perdana menteri.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata, akar umbi lebih berkuasa, manakala James Chin dari Institut Asia di Universiti Tasmania berpendapat, sokongan akar umbi hanya penting ketika pemilihan parti.

Azmi memberitahu FMT, akar umbi boleh memberi tekanan kepada ketua bahagian, yang “mungkin merupakan ‘panglima’ parti atau sebaliknya”.

“Akar umbi parti memainkan peranan penting dalam memberi tekanan kepada perdana menteri melalui ketua bahagian.”

Azmi Hassan.

Beliau berkata, desakan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi supaya pilihan raya umum ke-15 (PRU15) diadakan segera dan keengganannya bekerjasama dengan Bersatu, sejajar gesaan akar umbi pada perhimpunan agung tahunan parti itu.

Chin melihat sokongan Ahli Parlimen penting untuk perdana menteri kekal dalam kedudukannya.

“Anda boleh menjadi orang tidak popular, tetapi jika mendapat sokongan Ahli Parlimen, anda masih boleh kekal sebagai perdana menteri.

“Saya berpendapat akar umbi hanya penting ketika pemilihan parti, tidak begitu penting untuk PM Umno terus bertahan.”

Kelmarin, Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Isham Jalil dilaporkan berkata, tiada perdana menteri di Malaysia yang mampu bertahan tanpa sokongan akar umbi Umno.

James Chin.

Isham memetik bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad sebagai contoh, dengan berkata beliau hanya memerintah selama 22 bulan selepas akar umbi parti itu “tidak menyukainya”.

Katanya, perkara sama berlaku kepada Muhyiddin Yassin yang hanya dapat bertahan selama 17 bulan.

Azmi tidak bersetuju dengan pandangan Isham berkaitan Mahathir.

Katanya, tempoh Mahathir memerintah dipendekkan kerana Langkah Sheraton pada 2020 yang didalangi Bersatu. Ia menyebabkan BN, Bersatu, PAS dan puak pemberontak PKR bekerjasama untuk menggulingkan kerajaan PH.

Tetapi katanya, dalam kes Muhyiddin, akar umbi Umno memainkan peranan tidak langsung kerana mereka menyokong tindakan 14 Ahli Parlimen Umno yang menarik balik sokongan mereka kepada presiden Bersatu itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.