600 mangsa banjir di Batu Pahat ditempatkan di PPS

600 mangsa banjir di Batu Pahat ditempatkan di PPS

Hujan lebat sejak 1.30 pagi diikuti fenomena air pasang besar yang berlaku jam 3 pagi menyebabkan beberapa kawasan rendah dinaiki air.

Seramai 600 mangsa daripada 190 keluarga kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Gading, Batu Pahat. (Gambar APM)
PETALING JAYA:
Kira-kira 600 mangsa banjir daripada 190 keluarga di Sri Gading ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Gading, Batu Pahat, hari ini.

Ketua Polis Batu Pahat Ismail Dollah, berkata hujan lebat sejak 1.30 pagi, diikuti fenomena air pasang besar yang berlaku 3 pagi, menyebabkan beberapa kawasan rendah dinaiki air.

Katanya, kejadian banjir melibatkan empat kawasan di Sri Gading iaitu di Taman Sri Panchor, Kampung Sengkuang, Kampung Batu Sri Gading dan pekan Sri Gading.

“Anggaran jumlah mangsa terkini seramai 600 orang terdiri daripada 190 keluarga. Usaha membantu memindah mangsa sedang dijalankan,” katanya dalam kenyataan.

Ismail berkata, 25 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi termasuk polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pusat Kesihatan Daerah (PKD) menyertai operasi menyelamat.

“Sehingga kini jalan-jalan utama yang menghubungi daerah Batu Pahat dengan lain-lain daerah masih lagi boleh dilalui oleh semua kenderaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.