
Menyifatkan perkembangan itu sebagai “mengejutkan”, Fahmi berkata, “Ia mempersoalkan sama ada terdapat cubaan untuk mengelirukan Dewan Rakyat atau (sama ada) ia adalah jawapan mengenai perkara yang telah disiasat sehingga ketika itu.”
Soalan yang dikemukakan berkaitan insiden pelanggaran data terbesar di Malaysia yang melibatkan 46 juta nombor telefon bimbit, yang mendapat perhatian orang ramai dan media mengenai keberkesanan perlindungan data peribadi sedia ada.
Berdasarkan maklumat yang ada ketika itu, Fahmi meminta menteri itu menjelaskan bagaimana kontraktor yang menguruskan Perkhidmatan Penyekatan Selular Awam (PCBS) untuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) boleh gagal melindungi data peribadi pelanggan yang begitu ramai. Beliau turut bertanya apakah tindakan kementerian terhadap kontraktor terbabit.

Dalam jawapan bertulis dikeluarkan pada Oktober 2019, kementerian itu memberitahu Dewan Rakyat bahawa tindakan telah diambil terhadap Nuemera (M) Sdn Bhd susulan siasatan oleh SKMM, Pesuruhjaya Jabatan Perlindungan Data Peribadi dan polis.
Kenyataan itu menambah bahawa “kertas siasatan sudah lengkap dan dihantar ke Jabatan Peguam Negara untuk tindakan”.
Dewan Rakyat juga dimaklumkan bahawa “susulan siasatan itu, pada 26 Jan 2018, SKMM telah menggantung pelantikan Nuemera kerana syarikat itu didapati melanggar peruntukan asas dalam kontrak antara SKMM dan Nuemera”.
Selain itu, kenyataan itu turut menyebut SKMM sudah memaklumkan Nuemera bahawa ia tidak akan memperbaharui perjanjian PCBS untuk tempoh tambahan lima tahun seperti diperuntukkan kontrak.
Maklumat baharu, bagaimanapun, mencadangkan Nuemera mungkin tidak akan bertanggungjawab atas kebocoran data.
Dalam surat daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman kepada peguam Nuemera bertarikh 26 April 2018 – lebih setahun sebelum jawapan di Parlimen – polis mengesahkan bahawa siasatan mendedahkan tiada bukti mengaitkan Nuemera atau mana-mana kakitangannya dengan kebocoran atau penjualan data.
“Menteri berada dalam kedudukan untuk mungkin perlu memberi penjelasan mengenai perkara ini,” kata Fahmi sambil menambah bahawa polis juga perlu mengesahkan atau menafikan sama ada siasatan sedang dijalankan.
Sumber memberitahu FMT bahawa menjelang Mei 2018, JSJK telah memaklumkan secara rasmi kepada ketua pegawai operasi SKMM bahawa polis tidak dapat mengenal pasti mana-mana suspek dalam kes itu dan tiada tindakan lanjut melainkan maklumat baharu diperolehi.
Dalam surat lain bertarikh 2 Ogos 2019, JSJK memaklumkan SKMM bahawa Jabatan Peguam Negara tidak berhasrat untuk mendakwa sesiapa berhubung insiden itu.
Tiga surat itu dilihat bercanggah dengan kenyataan kementerian berkenaan di Parlimen yang meminta Nuemera bertanggungjawab atas pelanggaran data itu.
Dibina dan dikendalikan oleh Nuemera, PCBS bertujuan untuk melindungi orang ramai dengan menyekat operasi telefon bimbit yang hilang atau dicuri di seluruh rangkaian Malaysia, walaupun kad SIM mereka ditukar.
Dimodelkan pada sistem serupa di UK, PCBS itu bertujuan mengekang kes kecurian telefon, mengurangkan jenayah awam selain memberi autoriti penguatkuasaan undang-undang analisis jenayah yang penting.
Bulan lalu, FMT melaporkan bahawa siasatan disambung semula susulan penemuan bukti forensik digital baharu yang mencadangkan bahawa seorang individu telah membuat kenyataan palsu secara bersumpah.
Dalam prosiding timbang tara terhadap SKMM kerana penamatan salah dan relif lain, Nuemera menerima arahan supaya komputer riba yang disimpan oleh SKMM tertakluk kepada pemeriksaan forensik digital. FMT difahamkan bahawa tiada pemeriksaan sedemikian dibuat pada peranti terbabit sebelum ini.
Penemuan itu dikatakan bercanggah dengan kenyataan saksi yang merupakan penjaga rasmi komputer riba SKMM semasa siasatan. Komputer riba itu sepatutnya disimpan dengan selamat oleh SKMM.
Komputer riba milik Nuemera itu dikatakan telah dikonfigurasikan dengan kelayakan keselamatan dan perisian yang membolehkannya menyambung dengan selamat ke infrastruktur PCBS.
Siasatan terkini dipercayai tertumpu kepada penggunaannya dan penyimpanan selamat selepas pakar forensik digital menemui bukti yang menimbulkan keraguan terhadap penjelasan saksi sebelum ini.
Saksi itu juga dipercayai terlibat dalam penyediaan laporan siasatan dalaman berhubung insiden kebocoran data yang membawa kepada penggantungan Nuemera dan penamatan kontraknya dengan SKMM.
Nuemera telah memulakan prosiding timbang tara terhadap SKMM berhubung pertikaian itu.
Ketika dihubungi oleh FMT untuk laporan terdahulu, SKMM enggan mengulas, dengan menyatakan prosiding timbang tara itu adalah sulit.
Nuemera enggan mengulas mengenai laporan ini.