
Video pergaduhan selama 17 saat itu tular di Facebook sejak semalam.
Ketua Polis Pasir Mas, Mohd Nasaruddin M Nasir, berkata pertikaian dan pergelutan berlaku kerana penyewa berjanji menyerahkan kunci rumah pada hari kejadian, tetapi gagal berbuat demikian.
“Kedua-dua pihak terlibat sudah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas bagi memberi keterangan dan menyelesaikan pertikaian tersebut.
“Hasil perbincangan, kedua-dua pihak mengakui kesilapan masing-masing dan tidak berhasrat memanjangkan kes itu. Mereka juga mahu menyelesaikan perkara tersebut secara baik,” katanya dalam kenyataan.
Nasaruddin berkata, tiada kecederaan serius dialami kedua-dua pihak dalam pergaduhan itu.
Beliau menasihatkan orang ramai tidak mudah menyebarkan sebarang berita atau perkara tidak pasti bagi mengelakkan kebimbangan serta salah faham dalam kalangan masyarakat.