NGO dakwa pemaju langgar perintah mahkamah gantung sementara pembangunan Hutan Simpan Bukit Cherakah

NGO dakwa pemaju langgar perintah mahkamah gantung sementara pembangunan Hutan Simpan Bukit Cherakah

Wakil pemaju ketika dihubungi nafi kerja-kerja tanah sedang berjalan di tapak projek.

Minggu lalu Menteri Besar Amirudin Shari berkata pentadbirannya akan melengkapkan proses penyahwartaan bahagian tertentu di Hutan Simpan Bukit Cherakah.
SHAH ALAM:
Sebuah NGO alam sekitar mendakwa satu pemaju melanggar perintah mahkamah yang memerintahkan penggantungan sementara kerja-kerja pembangunan di tanah tertentu di Hutan Simpan Bukit Cherakah.

“Kami mendapat laporan dari penduduk setempat, pemandu lalu lalang di Persiaran Mokhtar Dahari sekitar Bukit Cherakah mendapati jentera berat masih bekerja di kawasan tersebut,” kata Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (Peka), Damien Thanam Divean.

“Penduduk juga mendengar bunyi jentera berat melakukan kerja tanah. Ini melanggar perintah mahkamah.

“Tindakan pemaju itu menghina mahkamah,” katanya kepada FMT.

Salah seorang peguam mewakili Peka dan Persatuan Rimba Komuniti Shah Alam (SACF), Rajesh Nagarajan, berkata beliau dimaklumkan oleh anak guamnya bahawa salah satu kontraktor sedang menjalankan kerja di sebalik perintah Mahkamah Tinggi Shah Alam itu.

“Saya telah diarah untuk memulakan tindakan terhadap kontraktor berkenaan iaitu menghina mahkamah kerana gagal mematuhi perintah mahkamah,” katanya, dan menambah ia akan dilakukan dalam minggu ini.

Mahkamah pada 11 Ogos membenarkan permohonan dua badan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar untuk menggantung sementara penyahwartaan tanah tertentu di Hutan Simpan Bukit Cherakah.

Rajesh sebelum ini memberitahu FMT perintah oleh hakim Shahnaz Sulaiman itu bermakna mana-mana pihak tidak boleh “memotong pokok atau membangunkan tanah itu” sehingga permohonan kebenaran semakan kehakiman selesai.

NGO terbabit memohon mahkamah menyemak kesahan penyahwartaan 406ha tanah hutan simpan itu, dikatakan seluas kira-kira 1,000 padang bola sepak. Pendengaran permohonan kebenaran itu akan ditetapkan pada 28 Sept.

FMT berada di kawasan berkenaan selama beberapa jam semalam dan mendapati tiada kegiatan kerja-kerja tanah sedang dijalankan pada waktu itu. Kelihatan beberapa lori dan jentolak diletakkan di tempat letak kenderaan.

Laluan utama tapak projek itu juga ditutup. Hanya pengawal keselamatan kelihatan di luar tapak itu.

Wakil pemaju ketika dihubungi menafikan kerja tanah sedang berjalan di tapak projek.

“(Pihak yang tidak puas hati) boleh lihat sendiri di tapak projek adakah kerja-kerja masih berjalan seperti yang didakwa,” katanya kepada FMT.

“Malah jentolak dan lori yang ada dalam kawasan itu hanya ‘parking’ sahaja. Kami tak buat kerja. Sebab arahan mahkamah mengantung kerja bukan membatalkan projek, dan mahkamah bukan arahkan pemaju kosongkan tapak projek. Jadi sementara pengantungan kami tunggu arahan mahkamah selanjutnya nanti 28 Sept ini,” katanya kepada FMT

Minggu lalu, Menteri Besar Amirudin Shari berkata pentadbirannya akan melengkapkan proses penyahwartaan bahagian tertentu di Hutan Simpan Bukit Cherakah, bagi mengelakkan risiko tindakan undang-undang oleh syarikat yang mempunyai kepentingan di situ.

Amirudin berkata pentadbirannya meneruskan siar warta untuk penyahwartaan itu bagi melengkapkan proses penyahwartaan yang terhenti sekitar 2006.

Beliau juga menafikan pihaknya menyahwarta kawasan Bukit Cherakah, dan mendakwa tindakan itu dibuat oleh pentadbiran terdahulu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.