
Wanita itu yang pada asalnya menganut kepercayaan Hindu ketika masih kecil ditukar agama kepada Islam secara sepihak oleh ibunya.
Hakim Yaacob Md Sam, yang mempengerusikan panel, menetapkan tarikh berkenaan bagi pendengaran hujahan lisan daripada peguam Haniff Khatri Abdulla, mewakili Mais, dan Malik Imtiaz Sarwar, yang mewakili wanita berkenaan.
Penasihat undang-undang negeri, Salim Soib @ Hamid, mewakili kerajaan Selangor, yang dinamakan sebagai perayu bersama.
Hakim lain bersidang adalah Ravinthran Paramaguru dan Nazlan Mohd Ghazali.
Wanita itu yang lahir pada 1986, berkata ibunya secara sepihak menukar agamanya, pada 1991, di pejabat Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).
Penukaran terbabit berlaku ketika ibu bapanya dalam proses penceraian, yang dimuktamadkan pada 1992.
Ibunya kemudian menikahi seorang lelaki Muslim, pada 1993, dan bapanya pula meninggal dunia dalam kemalangan, tiga tahun kemudian.
Wanita itu berhujah, di sebalik penukaran agama kepada Islam, ibu dan bapa tiri membenarkannya untuk terus mengamalkan kepercayaan Hindu.
Dia juga mendakwa tidak pernah mengucap “kalimah shahadah” ketika mana penukaran agama kepada Islam berlaku.
Sebaliknya, dia berterusan mengunjungi kuil Hindu dan meraikan sambutan keagamaan Hindu bersama saudara di sebelah bapa kandungnya.
Pada 2013, wanita itu memfailkan permohonan di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, untuk meninggalkan Islam. Permohonannya itu ditolak, pada 2017. Mahkamah Syariah juga mengarahkannya menghadiri sesi “siri perundingan kaunseling/akidah”.
Mahkamah Rayuan Syariah mengekalkan keputusan itu.
Pada 2021, dia memfailkan saman sivil di Mahkamah Tinggi Shah Alam, memohon pengisytiharan bahawa dia bukan Muslim. Mahkamah membenarkan permohonan pengisytiharan itu, pada Disember lalu.
Awal hari ini, Haniff memberitahu Mahkamah Rayuan bahawa Mahkamah Tinggi telah terkhilaf membenarkan pengisytiharan, sambil berhujah keputusan mahkamah itu “jelas melanggar Artikel 121(1A) Perlembagaan Persekutuan”.
Katanya, Perlembagaan memberikan penuh kuasa kepada Mahkamah Syariah menentukan pertikaian berhubung agama.
Beliau menegaskan bahawa Mahkamah Syariah telah menolak permohonan wanita itu untuk meninggalkan Islam. Saman sivil ini hanyalah percubaan untuk membicarakan semula perkara itu, katanya.
Membalas rayuan itu, Malik berkata, penukaran agama wanita itu kepada Islam terbatal susulan penguatkuasaan enakmen Selangor yang melarang penukaran agama sepihak.
Katanya, bapa kepada wanita itu ketika penukaran berlaku masih hidup apabila ibunya menukar agamanya, namun keizinan tidak pernah diperoleh.