
Peguam Wee Yeong Kang yang mewakili Shafee berkata, Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah pihak dalam kes berkenaan semasa prosiding dalam talian.
“Keputusan mengenai permohonan itu akan disampaikan secara dalam talian,” katanya ketika dihubungi.
Bagaimanapun, Wee berkata, tarikh pendengaran rayuan di pesuruhjaya khas cukai pendapatan Malaysia itu masih belum ditetapkan.
Prosiding hari ini turut disertai peguam utama Shafee, Rajan Navaratnam dan Muhammad Farhan Muhammad Shafee manakala LHDN diwakili Peguam Kanan Hasil Norhisham Ahmad, Al-Hummidallah Idrus dan Muhammad Faqrol Syazreen Mohd Ghause.
Shafee, 70, memfailkan permohonan itu pada 3 Nov 2021 antara lain memohon perintah supaya prosiding itu digantung sementara menunggu rayuan Najib Razak dan anaknya Mohd Nazifuddin berhubung pembayaran cukai pendapatan masing-masing berjumlah RM1.69 bilion dan RM37.6 juta kepada LHDN, diputuskan Mahkamah Persekutuan.
Shafee turut memberikan alasan bahawa beliau telah memfailkan notis rayuan terhadap notis taksiran tambahan bagi tahun 2011, 2012, 2013, 2014 dan 2016 kepada LHDN pada 27 Jun 2019 selain wujud keadaan istimewa untuk menggantung prosiding itu.
Pada 27 Sept tahun lalu, LHDN memohon supaya kes saman terhadap Shafee diputuskan melalui penghakiman terus atas alasan antaranya defendan gagal membayar keseluruhan tunggakan cukai pendapatan dan kenaikan cukai yang dikenakan ke atas beliau berjumlah RM9,414,708.32 dalam tempoh yang ditetapkan.
LHDN yang memfailkan saman itu pada 6 Mei tahun lalu mendakwa sehingga kini, peguam tersebut masih gagal membayar amaun cukai pendapatan yang masih terhutang bagi tahun taksiran 2011, 2012, 2013, 2014 dan 2016 termasuk kenaikan yang dikenakan.
Shafee merupakan peguam Najib dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan beliau turut berdepan dua pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM9.5 juta daripada Najib serta dua pertuduhan membuat penyata yang tidak betul kepada LHDN.