CEO The Edge selar tuduhan fitnah terhadap portal itu

CEO The Edge selar tuduhan fitnah terhadap portal itu

Ho Kay Tat berkata portal itu hanya memaklumkan pelabur tentang dakwaan manipulasi pasaran saham.

Ho Kay Tat berkata, jika pengadu seorang ahli perniagaan mendakwa portal ini memfitnah mereka, polis dan pendakwa raya perlu fail saman sivil bukan menggunakan sumber awam.
PETALING JAYA:
Sebuah organisasi berita berkaitan kewangan menyelar polis dan pejabat timbalan pendakwa raya kerana membuat tuduhan fitnah jenayah ke atas artikel yang diterbitkan oleh portal itu.

Ketua Pegawai Eksekutif The Edge, Ho Kay Tat berkata, beliau keliru kerana portal itu hanya memaklumkan pelabur tentang dakwaan manipulasi pasaran saham.

“Sebagai media yang melaporkan pasaran saham dan sektor korporat secara meluas, kami mempunyai tanggungjawab untuk mengetengahkan perkara penting kepada orang ramai yang melabur – termasuk memaklumkan mereka tentang cara harga saham dimanipulasi.

“Sekiranya pengadu, yang merupakan ahli perniagaan, merasakan bahawa kami telah memfitnahnya, polis dan timbalan pendakwa raya harus memintanya memfailkan saman sivil terhadap kami dan bukannya menggunakan sumber awam,” katanya dalam kenyataan.

Kenyataan itu susulan bekas ketua pengarang The Edge yang berhadapan dua pertuduhan fitnah jenayah di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini.

Pertuduhan pertama, Azam Aris didakwa atas dakwaan memfitnah Kua Khai Shyuan dan DGB Asia Bhd dalam artikel yang diterbitkan dalam The Edge pada 21 Sept 2020.

Bagi pertuduhan lain, Azam dan seorang pengarang, Shanmugam Murugasu, yang tidak hadir di mahkamah, didakwa memfitnah Kua, DGB Asia, Trive Property Group Bhd, Metronic Global Bhd dan MNC Wireless Bhd dalam artikel lain yang diterbitkan pada 12 April tahun lalu.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.