
“Neu Pendington” dibangunkan hasil kerjasama UDA Holdings Berhad (UDA) sebuah syarikat pemaju hartanah, pengurusan aset, fasiliti dan perhotelan dengan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) yang dijangka siap sepenuhnya pada 2029.
Premier Sarawak, Abang Johari Openg berkata, lokasi projek itu juga dan bakal menjadi antara hentian tren bagi projek Sistem Transit Aliran Autonomi (ART) di negeri ini kelak.
Abang Johari berkata, kedudukan Pending yang strategik kerana berhadapan Sungai Sarawak dan seberang Petra Jaya akan mengubah landskap ke arah kawasan membangun.
“Dari segi pengangkutan awam, salah satu stesennya adalah di Pendington. Nang nak lawan London kitak tok (Kita memang nak bersaing dengan London),” katanya pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Pembangunan Usaha Sama antara SEDC dan UDA di tapak pembangunan Neu Pendington, di sini hari ini.
“Neu Pendington” merupakan gabungan “Neu” yang membawa maksud pembaharuan dan “Pendington” kombinasi daripada nama kawasan Pending serta nama bandar di London iaitu Paddington.
Sementara itu, Pengerusi UDA, Norliza Abdul Rahim berkata, pembangunan bernilai RM496 juta itu merangkumi dua blok apartment, kedai pejabat berstrata serta satu blok hotel.
Menurutnya, fasa pertama projek berkenaan akan siap pada 2026 manakala fasa kedua bermula pada 2027.
“Pembangunan kedai pejabat ini akan dapat menyediakan ruang perniagaan kepada keluarga usahawan untuk mengembangkan lagi perniagaan mereka. Pembangunan usaha sama ini, akan memberi pulangan berjumlah hampir RM98 juta kepada SEDC merangkumi 35 unit apartment, 12 unit kedai pejabat berstrata dan sebuah hotel,” katanya.
Norliza berkata, UDA turut meninjau beberapa lokasi Miri, Sibu dan Bintulu yang berpotensi untuk dibangunkan sebagai usaha menerokai pembangunan di Sarawak serta meningkatkan pemilikan hartanah kediaman dan ruang komersial terutamanya kepada komuniti Bumiputera.
Pada 2020, UDA dan SEDC telah menandatangani Memorandum Perjanjian (MoU) Pembangunan Usaha Sama bagi menjalinkan kerjasama dari segi aspek hartanah.
Sementara itu, Abang Johari menggalakkan pemohon Sarawak-Malaysia Rumah Keduaku (S-MM2H) untuk membeli unit bagi projek “Neu Pendington” sebagai pelaburan memandangkan kawasan berkenaan diisytiharkan sebagai “kawasan pembangunan”.