Didakwa salah guna kedudukan, guru besar ditahan SPRM

Didakwa salah guna kedudukan, guru besar ditahan SPRM

Penahanan guru besar wanita itu kerana didakwa beli barangan sekolah melalui dua syarikat milik anaknya pada 2019 hingga tahun lalu.

Guru besar wanita sekolah pendidikan khas ditahan SPRM, didakwa membeli peralatan sekolah RM22,646 melalui dua syarikat didaftar atas nama anaknya, berusia 31 dan 33 tahun.
ALOR SETAR:
Seorang guru besar wanita di sebuah sekolah kebangsaan pendidikan khas ditahan kerana dipercayai menyalahgunakan kedudukan dengan membeli barangan sekolah melalui dua syarikat milik anaknya pada 2019 hingga tahun lalu.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah berkata, wanita berusia 58 tahun itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Sungai Petani, 1 tengah hari tadi.

Katanya, wanita itu dipercayai telah menyalahgunakan kedudukan dengan melakukan pembelian barangan sekolah bernilai RM22,646 melalui dua syarikat didaftar atas nama dua anaknya masing-masing berusia 31 dan 33 tahun.

Katanya, suspek wanita itu dilepaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM10,000 tanpa deposit kerana perlu menjaga suaminya yang sedang uzur di rumahnya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Shaharom Nizam Abd Manap, ketika dihubungi mengesahkan mengenai tangkapan itu dan memberitahu kes disiasat mengikut Akta SPRM 2009.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.