Ringgit jatuh ke paras terendah, Ahli Parlimen selar sikap diam kerajaan

Ringgit jatuh ke paras terendah, Ahli Parlimen selar sikap diam kerajaan

Lim Lip Eng berkata, rakyat berhak menerima penjelasan daripada perdana menteri dan menteri kewangan.

Pada 6 Sept, ringgit jatuh ke paras terendah berbanding dolar AS sejak 1998.
PETALING JAYA:
Seorang Ahli Parlimen DAP membidas kerajaan kerana terus membisu selepas ringgit jatuh ke paras terendahnya dalam tempoh 24 tahun minggu lepas.

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng menegur Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz kerana tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai perkara itu. Rakyat berhak mendapatkan penjelasan, katanya.

“Ringgit kini berada pada paras terendah dalam tempoh 24 tahun. Jika ini bukan krisis ekonomi, apa lagi?”

“Itulah persoalan yang ditanya rakyat biasa kepada kerajaan ‘pintu belakang’ yang tidak demokratik pimpinan Ismail Sabri,” katanya dalam kenyataan.

Lim Lip Eng.

Tambahnya, rakyat dan pemilik perniagaan memerlukan maklumat dan bimbingan dalam menghadapi kegawatan ekonomi semasa negara.

“Selepas kejatuhan kadar tukaran yang mengejutkan ini, negara tidak mampu untuk dibohongi lagi. Sudah tiba masanya untuk kerajaan berterus-terang dan memberitahu kita jika (negara) kini mengalami kemelesetan (ekonomi).

“Mereka juga mesti memaklumkan apa rancangan mereka untuk membantu rakyat keluar daripada kekacauan ekonomi ini, bukannya membiarkan sahaja semuanya berjalan secara ‘auto pilot’.”

Beliau turut menzahirkan kebimbangan mengenai kesan susulan ekoran kemerosotan ringgit.

Lim berkata, ini termasuk kemungkinan harga barangan import naik. Kenaikan sedemikian boleh meningkatkan tahap inflasi yang dihadapi rakyat, tambahnya.

“Oleh itu, usaha mesti dibuat secara proaktif untuk meningkatkan jaminan makanan negara agar kita tidak terlalu bergantung kepada makanan import.”

Pada 6 Sept, ringgit jatuh ke paras paling rendah berbanding dolar Amerika Syarikat sejak Januari 1998.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.