Helikopter Eurocopter hilang di hutan dekat Bidor, kata Wee

Helikopter Eurocopter hilang di hutan dekat Bidor, kata Wee

Menteri Pengangkutan berkata pesawat milik syarikat swasta dilapor hilang oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM).

Wee Ka Siong berkata, pesawat milik syarikat swasta itu terputus hubungan kira-kira 12.16 tengah hari tadi, dengan lokasi terakhir dilaporkan di sekitar kawasan hutan dekat Bidor. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Sebuah helikopter bersama seorang juruterbang terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC), kata Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong.

Katanya, pesawat jenis Eurocopter itu juga dilaporkan hilang oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM).

Beliau berkata, pesawat milik syarikat swasta itu terputus hubungan kira-kira 12.16 tengah hari tadi, dengan lokasi terakhir dilaporkan di sekitar kawasan hutan dekat Bidor.

“Helikopter ini sepatutnya mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah Ipoh pada jam 12.37 tengah hari selepas berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAS) Subang, pada jam 11.37 pagi.

“Pihak CAAM dan polis akan mengeluarkan kenyataan lanjut mengenai kejadian ini dan kedua-dua pihak sudah menggerakkan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) di lokasi sebenar, berdasarkan prosedur ditetapkan,” lapor Berita Harian.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CAAM Chester Voo, berkata helikopter tentera udara dan polis kini berada di lokasi terakhir pesawat itu untuk menjalankan usaha mencari dan menyelamat.

“Sistem radar di KLATCC telah merekodkan kehilangan ketinggian mendadak oleh helikopter terbabit. Pegawai kawalan trafik udara cuba menghubungi juruterbang, bagaimanapun tiada panggilan kecemasan dibuat.

“Semakan daripada bacaan radar menunjukkan kehilangan ketinggian yang besar dalam masa kurang daripada 1 minit,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, Pusat Penyelarasan Penyelamat Aeronautik Kuala Lumpur (KLARCC) di KLATCC telah segera diaktifkan untuk menentukan lokasi helikopter itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.