Denda Ahli Parlimen buat kenyataan seksis di Dewan Rakyat, kata Kasthuri

Denda Ahli Parlimen buat kenyataan seksis di Dewan Rakyat, kata Kasthuri

Ahli Parlimen Batu Kawan itu berkata, setiap Ahli Parlimen mesti bertanggungjawab atas kata-kata mereka.

Kasthuri Patto berkata, Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat perlu dipinda untuk membenarkan denda sebegitu dikenakan terhadap wakil rakyat.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen yang membuat kenyataan berbaur seksis di Dewan Rakyat patut didenda sekurang-kurangnya RM500, kata Kasthuri Patto.

Ahli Parlimen DAP Batu Kawan itu berkata, Peraturan Mesyuarat perlu dipinda untuk membenarkan denda sebegitu dikenakan terhadap wakil rakyat yang didapati menggunakan bahasa yang tidak sesuai dengan Parlimen oleh Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

Katanya, kenyataan seumpama itu boleh dianggap suatu kesalahan mengikut undang-undang mengenai kuasa dan hak Parlimen kerana gagal mematuhi peraturan dewan dan menghalang prosiding.

“Memalukan jika Ahli Parlimen didenda kerana ia akan direkod. (Rekod itu) menjadi bukti bahawa seseorang Ahli Parlimen itu telah mengeluarkan kenyataan yang tidak sesuai di Parlimen,” katanya dalam wawancara dengan FMT.

Beliau mengambil contoh Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim yang memanggilnya “gelap” dan memintanya menggunakan bedak ketika sidang Dewan Rakyat pada Julai 2020.

Kenyataan sebegitu tidak boleh diterima, kata Kasthuri.

“Seorang Ahli Parlimen tidak sepatutnya berkata sedemikian kepada Ahli Parlimen lain. Saya ada hak seperti yang lain (untuk berada di Parlimen) kerana kami semua dipilih (pengundi).

“Saya tidak suka apabila dilemparkan kata-kata seperti itu,” katanya.

Kasthuri berkata, setiap Ahli Parlimen mesti bertanggungjawab atas kata-kata mereka. Bagaimanapun, jika mereka merasakan bahawa mereka tidak berbuat sesuatu yang bercanggah dengan Parlimen, menjadi kewajipan speaker Dewan Rakyat untuk menegur Ahli Parlimen tersebut.

Kasthuri berharap untuk melihat perubahan berlaku supaya Parlimen menjadi ruang yang selamat bagi pemimpin-pemimpin akan datang.

“Kita mahu galakkan lebih ramai orang muda ceburi politik dan jadi Ahli Parlimen. Tetapi, kita tidak boleh wariskan Dewan Rakyat yang tidak terurus. Kita ada undang-undang dan kita perlu kuat kuasakannya dengan tegas di Parlimen,” katanya.

Pada sidang Dewan Rakyat baru-baru ini, Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman mengeluarkan kenyataan berbaur seksis, menuduh Ahli Parlimen wanita DAP sebagai “biadap” dan “tidak senonoh”.

Beliau turut dikatakan mengeluarkan kata makian selepas menutup mikrofonnya ketika sidang sedang gamat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.