Pejuang sedia pertaruh calon muda bukan ahli politik pada PRU15

Pejuang sedia pertaruh calon muda bukan ahli politik pada PRU15

Langkah itu bertujuan menarik sokongan anak muda yang sangat diperlukan untuk mengubah senario politik tanah air, kata Marzuki Yahya.

Timbalan Presiden Pejuang Marzuki Yahya berkata, partinya menyasarkan untuk bertanding di 14 kerusi Parlimen di Kelantan dan 45 kerusi DUN pada PRU15. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Pejuang berkemungkinan meletakkan golongan muda bukan ahli parti politik sebagai calon pada pilihan raya umum akan datang (PRU15).

Menurut timbalan presidennya, Marzuki Yahya, calon-calon mungkin terdiri daripada pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) Melayu.

Katanya, langkah itu bertujuan menarik sokongan anak muda kerana ia sangat diperlukan dalam mengubah senario politik tanah air.

“Kita mahu lihat calon yang bertanding mempunyai keterampilan diri yang baik dan bersih dari rasuah di samping mempunyai idea lebih segar dan baharu berbanding mereka pernah menyertai politik sebelum ini,” katanya pada sidang media selepas majlis ramah mesra dengan jenteranya di Kubang Kerian, Kelantan

“Sokongan anak muda sangat diperlukan bagi membawa angin perubahan dalam senario politik tanah air.

“Senario politik sebelum ini mempunyai banyak kepincangan dan kerosakan akibat hasil kerja yang kurang baik sekaligus menyebabkan masa depan negara terbantut.”

Selain itu, katanya, mereka memerlukan calon yang mempunyai semangat tinggi dan membawa suara anak muda dalam pentadbiran baharu kerajaan.

“Pejuang sedia menerima orang Melayu yang ingin berjuang untuk bangsa bagi melawan kumpulan yang merosakkan negara dengan pelbagai isu termasuk rasuah,” ujarnya, lapor Utusan Malaysia.

Sementara itu, beliau berkata, berdasarkan demografi, Pejuang menyasarkan untuk bertanding di 14 kerusi Parlimen di Kelantan dan 45 kerusi DUN pada PRU15.

“Kemungkinan besar kita letakkan semua calon di semua kerusi di bawah Pejuang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.