LKIM bekal ikan segar sejuk beku di kawasan risiko banjir

LKIM bekal ikan segar sejuk beku di kawasan risiko banjir

Langkah ini bagi memastikan bekalan ikan di kawasan-kawasan terbabit sentiasa mencukupi.

LKIM turut menyediakan pusat pengumpulan ikan di beberapa negeri sebagai persediaan menghadapi musim tengkujuh tahun ini, kata Kusuadi Sallih. (Gambar Bernama)
TUMPAT:
Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) akan menyediakan bekalan ikan segar sejuk beku di kawasan berisiko banjir terutama pada musim tengkujuh nanti, kata Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) LKIM Kusuadi Sallih.

Beliau berkata, LKIM sedang merangka jawatankuasa persediaan bencana alam bagi memastikan bekalan ikan sentiasa mencukupi dan dapat dibekalkan ke kawasan yang dilanda banjir.

“Kita turut menyediakan pusat pengumpulan ikan di beberapa negeri sebagai persediaan menghadapi musim tengkujuh tahun ini,” katanya.

“Selain itu, kita akan mendapatkan maklumat dari semasa ke semasa dari Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengenai situasi banjir yang akan berlaku di negara ini.”

Beliau berkata demikian kepada wartawan selepas Majlis Perasmian Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (PJMKM) peringkat DUN Pasir Pekan di Wisma I’Baadurraham Taybah Mart, yang dirasmikan Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob hari ini.

Dilaporkan sebelum ini bahawa MetMalaysia meramalkan negara akan mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November yang membawa kepada banjir besar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.