Cuaca ekstrem boleh berlaku di kawasan tak terjejas MTL, kata MetMalaysia

Cuaca ekstrem boleh berlaku di kawasan tak terjejas MTL, kata MetMalaysia

Antara faktor utama mempengaruhi kejadian cuaca ekstrem ialah arah dan kelajuan tiupan angin serta penumpuan angin di sesebuah kawasan.

ribut petir
Menurut Jabatan Meteorologi pantai barat Semenanjung, Sabah dan Sarawak berpotensi dilanda cuaca ekstrem, jika keadaan atmosfera menggalakkan pembentukan ribut petir. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Hujan lebat, ribut petir dan angin kencang masih berpotensi berlaku dari semasa ke semasa di kawasan lazimnya tidak terjejas monsun timur laut (MTL), jika wujud keadaan atmosfera kondusif bagi membolehkan pembentukan cuaca ekstrem itu.

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), Ambun Dindang, berkata selain pantai timur Semenanjung, Sabah dan Sarawak yang lazimnya mengalami cuaca ekstrem ketika MTL, pantai barat tiga wilayah itu juga berpotensi dilanda cuaca sedemikian, jika keadaan atmosfera menggalakkan pembentukan ribut petir berkenaan.

Beliau berkata, antara faktor utama mempengaruhi kejadian cuaca ekstrem ialah arah dan kelajuan tiupan angin serta penumpuan angin di sesebuah kawasan.

“Sepanjang musim MTL, perkara paling dibimbangkan ialah kehadiran luruan monsun kerana ia boleh menyebabkan hujan berterusan antara satu hingga tiga hari,” katanya menerusi program “Malaysia Petang Ini” terbitan Bernama TV, semalam.

Menurutnya, hujan berterusan boleh berlaku pada intensiti sederhana hingga lebat dan berpotensi meningkatkan risiko bencana, jika keadaan itu berlarutan.

Beliau berkata, kebiasaannya MetMalaysia akan mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dengan tiga tahap keseriusan, iaitu waspada (kuning), buruk (oren) dan bahaya (merah) sebagai peringatan kepada orang ramai supaya sentiasa bersiap siaga menghadapi bencana.

“Peringkat waspada menunjukkan potensi risiko cuaca ekstrem yang masih perlu diberi perhatian serius oleh masyarakat.

“Walaupun monsun dijangka berakhir pada Mac, kehadiran luruan monsun yang membawa hujan lebat itu boleh berlaku bila-bila masa dan memerlukan pemantauan berterusan.”

Ambun turut memaklumkan MetMalaysia menjalankan pemantauan cuaca 24 jam dan akan mengeluarkan amaran awal sebaik sahaja tanda luruan monsun dikenal pasti.

Beliau menasihatkan orang ramai sentiasa mendapatkan maklumat cuaca terkini daripada sumber rasmi MetMalaysia serta mematuhi arahan pihak berkuasa jika diarahkan berpindah bagi mengurangkan risiko keselamatan semasa cuaca ekstrem.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.