Lebih 300 klinik di Sabah akan dinaik taraf, kata KJ

Lebih 300 klinik di Sabah akan dinaik taraf, kata KJ

Penaiktarafan bagi 326 klinik yang berada dalam keadaan daif dan kurang daif ini akan dibuat dengan kadar segera, kata menteri kesihatan itu.

Khairy Jamaluddin berkata, sebanyak 326 klinik di Sabah dikenal pasti oleh KKM berada dalam keadaan daif serta kurang daif. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, sebanyak 326 klinik di Sabah akan dinaik taraf dengan kadar segera.

Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak 287 klinik dikenal pasti berada dalam keadaan daif, yang dibina dengan kayu dan sudah tidak selamat diduduki, manakala selebihnya ialah klinik yang tidak begitu daif, tetapi sudah tidak selesa digunakan.

“Saya telah mohon (peruntukan) dengan Kementerian Kewangan, dan insyaAllah akan diluluskan,” katanya ketika bercakap dengan pemberita selepas menghadiri Majlis Pelancaran Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) di Sabah.

Dalam perkembangan lain, Khairy juga menyebut usaha meningkatkan fasiliti dan akses kesihatan bagi rakyat Sabah dengan penambahan kepakaran di hospital-hospital di seluruh negeri itu.

Beliau berkata, menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 dan seterusnya, kerajaan akan menaik taraf dua hospital, iaitu Hospital Duchess of Kent di Sandakan dan Hospital Tawau supaya setanding dari segi perkhidmatan dan kepakaran dengan Hospital Queen Elizabeth (HQE) di Kota Kinabalu.

“Kita juga akan tambah kepakaran di beberapa hospital lain, seperti di HQE II, supaya dapat kurangkan tekanan kepada HQE.

“Kita juga telah kenal pasti Hospital Keningau dan Hospital Lahad Datu untuk dinaik taraf menjadi hospital pakar major,” katanya.

Selain itu, menurut Khairy, kepakaran juga akan ditambah di Hospital Kota Marudu, Hospital Tuaran, dan Hospital Beaufort supaya dapat menjadi hospital pakar minor.

Beliau berkata, kerajaan menyedari kesulitan dihadapi oleh rakyat Sabah yang antaranya perlu datang dari jauh ke Kota Kinabalu, malah sampai ke Kuala Lumpur, untuk mendapatkan rawatan pakar.

“Lebih baik (kita) bawa kepakaran ke kawasan yang tiada kepakaran,” katanya.

Apabila ditanya mengenai garis masa pelaksanaan rancangan ini, Khairy menyatakan bahawa ia akan mengambil masa lapan hingga 10 tahun.

“Akan ambil masa untuk latih pakar,” katanya.

“Nak latih seorang pakar itu akan ambil masa sekurang-kurangnya 10 tahun.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.