Ahli Parlimen DAP perjelas mengapa PH tak selesai isu kerakyatan anak lahir luar negara

Ahli Parlimen DAP perjelas mengapa PH tak selesai isu kerakyatan anak lahir luar negara

Ahli Parlimen Batu Kawan Kasthuri Patto berkata, liputan media mengenai isu kerakyatan menjadi lebih hebat selepas kerajaan PH jatuh.

Kasthuri Patto berkata, tidak banyak kes berkait kerakyatan dibangkitkan ketika PH menjadi kerajaan dari 2018 hingga 2020, jadi ia tidak menjadi keutamaan.
PETALING JAYA:
Seorang Ahli Parlimen DAP menjelaskan mengapa isu kerakyatan kanak-kanak yang lahir di luar negara tidak menjadi keutamaan Pakatan Harapan (PH) ketika menjadi kerajaan dahulu.

Ahli Parlimen Batu Kawan Kasthuri Patto, yang lantang bersuara mengenai isu itu, berkata tidak banyak kes seumpama itu ketika PH menjadi kerajaan dari 2018 hingga 2020 dan perkara itu tidak mendapat banyak publisiti.

Liputan media mengenai isu itu hanya menjadi hebat selepas kerajaan PH jatuh, katanya.

“Hari ini, (isu ini) menjadi berita utama, semua orang bercakap tentangnya. Bagaimanapun, dua tiga tahun lepas, ia tidak (dibualkan),” katanya.

“Saya rasa wabak Covid-19, yang menghalang ibu (daripada pulang) untuk melahirkan anak, menyebabkan perbualan mengenai isu kerakyatan bagi kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara (oleh ibu rakyat Malaysia) menjadi hangat.”

Kasthuri berkata, pada masa itu, pentadbiran PH memberi tumpuan kepada beberapa pindaan lain kepada Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang berkaitan kerakyatan.

“Saya rasa ia sesuatu yang sepatutnya kami usahakan semasa PH menjadi kerajaan, tetapi senarai perkara yang perlu dilakukan semakin lama semakin panjang,” katanya kepada FMT dalam suatu wawancara.

Kasthuri berkata, beliau yakin Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar akan memperjuangkan isu ini di Parlimen, kerana beliau cukup proaktif dalam memastikan Ahli Parlimen mendapat maklumat terkini mengenai perkara itu.

Bagaimanapun, katanya, mekanisme jawatankuasa yang ditubuhkan pada November 2021 untuk mengkaji cadangan pindaan berkaitan isu itu masih belum didedahkan.

Jawatankuasa itu dijangka membentangkan penemuannya dalam tempoh enam bulan selepas ditubuhkan, katanya.

“Kita tak tahu siapa yang menganggotai jawatankuasa itu, kita tak tahu hasil kajian itu, mahupun penyelidikan apa yang dibuat olehnya. Parlimen masih belum menerima kemas kini mengenainya.

“Kami tidak tahu sama ada Istana Negara telah menerima kemas kini,” katanya.

Majlis Raja-raja mempersetujui pembentukan jawatankuasa itu selepas Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa kerakyatan boleh diperoleh daripada ibu juga bapa.

Bagaimanapun, keputusan Mahkamah Tinggi itu dibatalkan oleh Mahkamah Rayuan bulan lepas, yang memutuskan bahawa perlembagaan hanya memperuntukkan kerakyatan melalui bapa, dan terpulang kepada Parlimen untuk mengubah undang-undang itu.

30% perwakilan wanita

Sementara itu, Kasthuri berkata, sudah tiba masanya untuk meneroka bagaimana Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) boleh mencapai 30% perwakilan wanita dalam perkhidmatan kerajaan.

Menyedari bahawa tiada kejelasan mengenai proses yang terlibat, beliau mempersoalkan sama ada kuota itu hanya digunakan untuk pengambilan baharu atau sama ada ia turut merangkumi kenaikan pangkat untuk wanita dan ahli komuniti berkeperluan khas.

“Sudah tentu, semuanya boleh dipertikaikan. Anda dinaikkan pangkat berdasarkan merit,” katanya sambil menyatakan bahawa pada masa ini, lebih ramai wanita menjadi graduan berbanding lelaki.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.