
Presiden Water Watch Penang, Ngai Weng Chan, berkata hal ini kerana penubuhan badan itu akan menghendaki Kedah melepaskan haknya ke atas lembangan Ulu Muda, tadahan air bagi negeri itu serta negeri-negeri jirannya, Pulau Pinang dan Perlis.
Pakar pemuliharaan dan pegawai Pulau Pinang telah menyuarakan kebimbangan bahawa pembalakan di kawasan itu boleh menjejaskan bekalan air ke negeri-negeri di luar Kedah.
Kerajaan Kedah memetik keperluan kewangan negeri itu apabila mempertahankan pembalakan di Ulu Muda. Kegiatan itu akan berkurangan hanya apabila negeri itu menerima pampasan, tambahnya.
Ngai berkata, pihak berkuasa air wilayah yang dikenali sebagai Lembaga Lembangan Ulu Muda (Umba), seperti yang dicadangkan oleh Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang P Ramasamy, akan membantu menyelesaikan pertikaian antara negeri.
Lembangan Ulu Muda mengalir ke Sungai Muda, sungai rentas sempadan yang dikongsi oleh Kedah dan Pulau Pinang. Sungai merentasi sempadan berada bawah senarai bersama dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Oleh itu, ia sepatutnya berada bawah bidang kuasa dan skop kerajaan persekutuan,” katanya kepada FMT.
“Tidak adil jika hanya salah satu daripada negeri-negeri ini menentukan apa yang berlaku di lembangan tersebut. Ia mesti menjadi tanggungjawab bersama.”
Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa dengan kewujudan badan seperti Umba, kerajaan Kedah tidak dapat melaksanakan projek di dalam kawasan lembangan seperti pembalakan dan pembersihan tanah tanpa kelulusan pihak berkuasa.
“Ini pastinya tidak menarik bagi Kedah, malah menakutkan,” katanya.
Ngai juga berkata, ketiadaan komitmen yang dilihat daripada Putrajaya akan menjadi satu lagi halangan kepada penubuhan Umba.
Tahun lepas, Kementerian Alam Sekitar dan Air menolak usul Pulau Pinang untuk menubuhkan Umba, dengan berkata ia akan dilihat sebagai pencerobohan persekutuan ke atas tanah dan hak air sesebuah negeri.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) Jaseni Maidinsa berkata, cadangan penubuhan Umba tidak seharusnya dipolitikkan kerana ia mempengaruhi kehidupan lebih empat juta penduduk di Kedah, Pulau Pinang dan Perlis.
“Lembangan Ulu Muda dan Sungai Muda menjadi sumber air mentah utama bagi ketiga-tiga negeri itu,” katanya kepada FMT.
“Oleh itu, menjadi kepentingan kerajaan persekutuan untuk memelihara dan melindunginya.”