
Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani, berkata pihaknya telah memohon dan memperolehi ‘red notice’ (individu dalam buruan berdepan pendakwaan)
daripada Interpol terhadap Jho Low, pada 2018.
“‘Red notice’ tersebut adalah jenis kategori yang hanya boleh diakses agensi penguatkuasa negara ahli Interpol memandangkan suspek berkenaan tidak memudaratkan keselamatan awam berdasarkan penilaian pihak Interpol.
“Ia turut dikeluarkan oleh Interpol kepada 195 negara ahli sebagai makluman dan mendapatkan bantuan maklumat mengenai keberadaan penjenayah buruan,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, sekiranya mana-mana negara ahli mengesan keberadaan penjenayah dikehendaki, Interpol negara itu bertanggungjawab menyalurkan maklumat kepada negara yang memperoleh ‘red notice’ bagi proses permohonan ekstradisi.
“Setakat ini, permohonan ekstradisi ke atas Jho Low tidak dapat dibuat memandangkan tiada negara ahli Interpol yang mengesahkan keberadaannya di negara berkenaan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, pihak berkuasa asing di Singapura dan Amerika Syarikat turut menjalankan siasatan ke atas Jho Low, dan kedua-dua negara itu telah memfailkan pertuduhan kepadanya.
Katanya, polis juga sudah memfailkan 13 pertuduhan di mahkamah terhadap Jho Low walaupun tanpa kehadirannya membabitkan 1MDB.
“Kami amat mengalu-alukan mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berhubung lokasi Jho Low untuk menyalurkannya melalui talian infoline CCID atau di mana-mana balai polis yang berhampiran.” tambahnya.
Bulan lalu, pengarang bersama buku mengenai skandal 1MDB, Bradley Hope, telah memulakan carian di media sosial terhadap Jho Low yang dikaitkan dengan kes itu.
“Maklumat sudah diterima, kami sedang memprosesnya. Bantu kami sampaikan berita ini kepada rakan kami di China,” katanya.
Hope menggesa orang ramai untuk menghebahkan pencarian Low kepada rakan-rakan di China menggunakan tanda pagar #whereisjholow #Malaysia.
Buku Hope berjudul “The Billion Dollar Whale: The Man Who Fooled Wall Street, Hollywood and the World”, yang dikarang bersama Tom Wright, mengisahkan skandal rasuah 1MDB, yang juga menggambarkan Low didakwa sebagai dalang utama.
Tulisan di Twitternya dibuat sehari selepas mahkamah tertinggi mengesahkan sabitan dan hukuman terhadap bekas perdana menteri, Najib Razak, dalam kes SRC International. SRC International merupakan bekas anak syarikat 1MDB.