Perlu lebih banyak masa untuk siasatan isu LCS, kata KP SPRM

Perlu lebih banyak masa untuk siasatan isu LCS, kata KP SPRM

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki hanya menjawab 'tiada komen' mengenai pertanyaan sama ada menteri Abd Latiff Ahmad akan dipanggil memberi keterangan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata, agensi itu memerlukan sedikit masa untuk memanggil lebih ramai saksi dalam siasatan projek LCS bernilai RM9 bilion yang bermasalah.
PUTRAJAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memerlukan lebih banyak masa untuk menyiasat projek kapal tempur pesisir (LCS) bernilai RM9 bilion yang bermasalah, kata Ketua Pesuruhjayanya Azam Baki.

Pada sidang media, beliau berkata, agensi anti-rasuah itu memerlukan sedikit masa untuk memanggil lebih ramai saksi dalam siasatannya, termasuk yang berada di luar negara.

Ketika ditanya sama ada SPRM akan memanggil Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas khas) Abd Latiff Ahmad untuk memberi keterangan berhubung dakwaan kaitannya dengan projek itu, Azam berkata: “Tiada komen mengenainya.”

“Kerana kita masih siasat. Kita perlu semak perkara itu,” katanya ringkas kepada pemberita.

Bulan lalu, bekas pengarah urusan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) Ahmad Ramli Mohd Nor didakwa di Mahkamah Sesyen atas tiga pertuduhan pecah amanah membabitkan RM21.08 juta.

BNS telah ditugaskan untuk membina enam frigat tentera laut dalam projek LCS, yang telah berada di bawah penelitian Parlimen berhubung kos dan kelewatan pembinaan.

Berikutan pertuduhan terhadap Ramli, pihak tertentu telah menuntut pihak berkuasa untuk mendalami siasatan mereka dan menyiasat “jerung” di sebalik projek itu.

Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli mengaitkan Latiff dengan skandal itu, mendakwa isteri Ahli Parlimen Mersing itu mempunyai hubungan dengan projek berkenaan.

Latiff telah menafikan semua dakwaan terhadapnya dan membuat laporan polis, menyebabkan polis menyiasat Rafizi, bekas Ahli Parlimen Pandan.

Dalam perkembangan lain, Azam berkata, beliau menjangkakan siasatan terhadap mereka yang didakwa menerima sogokan daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) akan selesai dalam masa terdekat.

“Kita telah memanggil hampir semua nama yang disebut dalam buku lejar UKSB. Saya jangkakan siasatan akan siap dalam masa terdekat,” katanya.

Difahamkan, buku lejar itu disimpan oleh bekas pengurus UKSB.

Kewujudannya didedahkan dalam perbicaraan rasuah bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi.

Antara yang dinamakan dalam lejar itu termasuk bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin, bekas ketua menteri Sabah Shafie Apdal, bekas menteri luar Anifah Aman, bekas menteri dalam negeri Hishammuddin Hussein dan bekas timbalan menteri luar Reezal Merican Naina Merican.

Semua mereka telah menafikan secara terbuka menerima wang daripada UKSB.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.