Wang diserah kepada Zahid ‘tak jatuh dari langit’, kata pendakwaan

Wang diserah kepada Zahid ‘tak jatuh dari langit’, kata pendakwaan

Timbalan pendakwa raya memberitahu Mahkamah Tinggi tidak penting untuk menunjukkan sumber wang tunai bagi membuktikan tuduhan rasuah terhadap Ahmad Zahid Hamidi.

Peguam Ahmad Zahid Hamidi, berhujah semalam bahawa pihak pendakwaan tidak membuktikan sumber dana kepada Zahid yang dikatakan diterimanya. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Wang tunai dalam bentuk mata wang berbeza dari Hong Kong dan Labuan yang diserahkan kepada Ahmad Zahid Hamidi “tidak jatuh dari langit”, Mahkamah Tinggi diberitahu, hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya Raja Rozela Raja Toran, berkata kesemua saksi daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) memberi keterangan benar bahawa syarikat itu tidak mempunyai wang yang cukup untuk diberikan kepada tertuduh.

“Mereka memerlukan sokongan daripada dua rakan niaga di Hong Kong. Wang juga datang dari syarikat di Labuan. Wang itu tidak jatuh dari langit,” katanya dalam hujahan berhubung sumber dana dalam perbicaraaan kes rasuah Zahid.

Raja Rozela berkata, tidak penting bagi pihak pendakwaan untuk menunjukkan dari mana wang itu datang bagi membuktikan bahan tuduhan terhadap Zahid mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Kanun Keseksaan.

“Ini hanya akan mengenakan beban tidak munasabah bagi pihak pendakwaan untuk membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh,” katanya.

Katanya, bekas pengurus pentadbiran UKSB, David Tan, dan pegawai penyiasat SPRM V Mahendran, sudah memberi keterangan berhubung kewujudan perjanjian syarikat itu dengan rakan perniagaan mereka di Hong Kong.

Pihak pendakwaan, berkata, ia menunjukkan Zahid, sebagai penjawat awam, meminta wang dan ia diserahkan secara bulanan oleh pengarah UKSB, Harris Lee dan Wan Quoris Wan Abdul Ghani.

Semalam, peguam Ahmad Zaidi Zaidi, yang mewakili Zahid, berhujah bahawa pihak pendakwaan tidak membuktikan sumber dana kepada anak guamnya yang dikatakan diterimanya.

Katanya, pertuduhan menyatakan wang terbabit daripada UKSB, namun keterangan di mahkamah mendedahkan ia datang dari Hong Kong dan daripada dividen syarikat luar pesisir, di Labuan.

Zaidi berkata, wang itu kemudian dihantar kepada dua pengurup wang di Kuala Lumpur, yang menghantar dana itu kepada Tan dan Lee.

Justeru, beliau berkata, pihak pendakwaan gagal membuktikan kes mereka susulan jaringan keterangan untuk menjejak wang itu tidak lengkap.

Ketua pasukan pembelaan Zahid, Hisyam Teh Poh Teik, hari ini, berhujah bahawa keterangan Tan, Lee dan Wan Quoris, ditolak kerana mereka bukan saksi dipercayai.

“Mahkamah mesti mengambil notis kehakiman bahawa mereka tidak jujur dan memberi keterangan bercanggah,” katanya.

Hisyam berkata, Tan, Lee dan Wan Quoris bertindak membelakangkan seorang lagi pengarah UKSB, Fadzil Ahmad, berhubung lejer yang mengandungi senarai pembayaran wang tunai membabitkan ahli politik, termasuk Zahid.

Zahid yang juga presiden Umno dan Ahli Parlimen Bagan Datuk berdepan 33 tuduhan menerima rasuah berjumlah SGD13.56 juta (RM42 juta) daripada UKSB sebagai menteri dalam negeri ketika itu bagi tujuan menyambung kontrak syarikat itu sebagai pengendali pusat sehenti di China dan sistem visa asing (VLN) serta mengekalkan kontrak pembekalan sistem bersepadu VLN.

Zahid juga berdepan tujuh lagi tuduhan mengikut Kanun Keseksaan, iaitu memperoleh SGD1.15 juta, RM3 juta, 15,000 franc Swiss dan USD15,000 daripada syarikat yang sama berhubung tugas rasminya.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Seri Satria di Presint 16, Putrajaya, dan di Country Heights, Kajang, antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Hakim Yazid Mustafa akan membuat penghakimannya, pada 23 Sept, sama ada Zahid perlu dipanggil membela diri terhadap semua pertuduhan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.