
Beliau berkata, walaupun Malaysia masih dilihat sebagai destinasi menarik bagi pelabur dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E), lebih banyak perlu dilakukan untuk membantu PKS memainkan peranan yang lebih besar dalam rantaian bekalan.
“Rantaian bekalan yang kukuh itu sendiri kemudiannya boleh menjadi tarikan (kepada pelabur). Itu yang akan membezakan Malaysia daripada negara lain di rantau ini,” kata Ng kepada FMT Business.
Syarikat multinasional (MNC) lazimnya bergantung kepada PKS tempatan untuk mendapatkan bekalan bahan mentah dan perkhidmatan seperti pengangkutan dan logistik. Industri sokongan sedemikian sentiasa penting dalam usaha menarik FDI.
Ng menjawab soalan daripada FMT Business mengenai kemungkinan Malaysia mengambil kesempatan atas perang teknologi AS-China yang telah menyebabkan banyak perniagaan elektronik dan lain-lain dari Amerika Syarikat mengelak China apabila mencari destinasi baharu untuk pelaburan.
Sebagai contoh, pembuat perisian cip AS Synopsys baru-baru ini mengumumkan bahawa ia akan melabur dalam melatih jurutera elektrik di Vietnam.
Syarikat itu turut mengumumkan bahawa ia akan mendermakan lesen perisian untuk pusat reka bentuk cip kepada negara Asia Tenggara itu, memberikannya peluang yang jarang didapati untuk maju dalam perlumbaan serantau untuk menguasai sektor itu.
Synopsys adalah antara segelintir syarikat AS yang menguasai pasaran global dalam automasi reka bentuk elektronik (EDA) atau perisian reka bentuk cip.
Industri EDA lebih kecil daripada fabrikasi semikonduktor tetapi menjadi medan penting dalam perang cip kerana Beijing sedang berusaha keras untuk mengembangkan alternatif kepada oligopoli AS, menurut laporan terbaru Nikkei.
Malaysia masih belum melihat pelaburan baharu masuk dari AS atau China sejak perang teknologi mula tercetus antara dua ekonomi terbesar dunia itu.
Menurut Ng, ramai pelabur pernah tertarik dengan insentif cukai yang menggalakkan oleh Malaysia, tetapi ia juga kini ditawarkan oleh negara-negara jiran.
“Kita mesti terus berwaspada kerana negara-negara di rantau ini berminat untuk menarik pelaburan daripada syarikat yang menjauhkan diri atau mengawal nilai kehadiran mereka di China,” katanya.
Pengarah Eksekutif Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI) Shaun Cheah berkata, hakikat bahawa Synopsys memilih untuk membangunkan fasiliti latihan juruteranya di Vietnam berbanding Malaysia menimbulkan beberapa persoalan.
“Negara kita sudah menjadi pemain dalam industri cip elektronik selama beberapa dekad, tetapi tidak dapat meningkatkan rantaian nilai dalam kejuruteraan reka bentuk,” katanya kepada FMT Business.
Beliau berkata, apabila perang teknologi China-AS bermula, MICCI telah menegaskan bahawa pelabur asing akan mencari tempat untuk menyuntik pelaburan.
“Kita sepatutnya menggunakan peluang ini untuk mewujud dan membangunkan dasar dan insentif pro-FDI, tetapi sebaliknya, kita dapati ketidakstabilan politik dan masalah tadbir urus berprofil tinggi,” katanya.
Ahli ekonomi Ramon Navaratnam berkata, standard negara telah menjunam, seterusnya menyebabkan pelabur tawar hati.
“Sebagai pelabur, anda mahukan sumber yang bagus, bahan, kakitangan yang bekerja keras dan berdisiplin yang akan bersaing untuk meningkatkan (perniagaan), bereksperimen dan melangkah ke hadapan,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, kualiti pendidikan yang rendah dan amalan rasuah yang tambah berleluasa menjejaskan kompetensi bakat negara.
“Kita bukan lagi ekonomi yang kukuh. Jika kita tidak mengamalkan meritokrasi, dan dasar pendidikan berasaskan kaum kita terus melindungi (komuniti tertentu) berbanding dengan menggalakkan persaingan yang lebih hebat, kita boleh menjangkakan untuk tidak mencapai prestasi sebagus yang lain,” tambahnya.