Pelitup muka di kawasan tertutup tak wajib berkuat kuasa serta-merta, kata KJ

Pelitup muka di kawasan tertutup tak wajib berkuat kuasa serta-merta, kata KJ

Pemakaian pelitup muka bagaimanapun masih diwajibkan di hospital, pengangkutan awam dan pusat penjagaan, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Putrajaya pertama kali mewajibkan pelitup muka di kawasan terbuka dan tertutup pada 1 Ogos 2020 ketika kes Covid-19 di negara ini meningkat.
PETALING JAYA:
Peraturan pemakaian pelitup muka tidak lagi diwajibkan di kebanyakan kawasan tertutup, berkuatkuasa serta merta, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin

Bagaimanapun, beliau berkata, pemilik premis masih mempunyai hak untuk memutuskan sama ada pelanggan mereka perlu memakai pelitup muka.

Namun, pemakaian pelitup muka masih diwajibkan di hospital, pengangkutan awam dan rumah penjagaan.

Individu berisiko tinggi seperti warga emas, mereka yang mempunyai penyakit kronik dan wanita mengandung sangat digalakkan untuk terus memakai pelitup muka ketika berada dalam kawasan tertutup.

Khairy berkata, keadaan itu juta terpakai bagi mereka yang menjalankan aktiviti membabitkan individu berisiko tinggi.

“Kementerian Kesihatan sangat menggalakkan pemakaian pelitup muka dalam kawasan sesak seperti pasar malam, stadium dan pusat beli belah,” katanya.

Katanya, pihak kementerian akan terus memantau situasi Covid-19 dalam dan luar negara, selain memastikan perkhidmatan kesihatan berada pada tahap optimum.

Kerajaan mula mewajibkan pemakaian pelitup muka di kawasan terbuka mahu pun tertutup, pada 1 Ogos 2020, ketika pandemik Covid-19 teruk melanda.

Bagaimanapun, arahan itu mula dilonggarkan pada 1 Mei, dengan orang awam tidak lagi diperlukan mengenakan pelitup muka ketika berada di kawasan terbuka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.