Shahrir beri cek RM63,800 untuk kerja baik pulih bumbung bangunan, kata saksi

Shahrir beri cek RM63,800 untuk kerja baik pulih bumbung bangunan, kata saksi

Mustapha Ali, 63, berkata beliau menerima wang itu menerusi sekeping cek daripada seorang peniaga, Syed Mohsin Syed Sagaf, pada 2014 selepas kerja baik pulih selesai.

Shahrir Samad, 72, didakwa terbabit dalam pengubahan wang haram iaitu tidak mengisytiharkan pendapatan diterima daripada Najib Razak berjumlah RM1 juta menerusi cek yang kemudian dimasukkan dalam akaun bank miliknya. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Seorang kontraktor pembinaan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, bahawa beliau menerima wang berjumlah RM63,800 daripada Shahrir Samad berhubung kerja-kerja membaik pulih bumbung tiga blok bangunan Projek Puri Langkasuka, di Larkin.

Mustapha Ali, 63, berkata beliau menerima wang itu menerusi sekeping cek daripada seorang peniaga, Syed Mohsin Syed Sagaf, pada akhir Mac 2014 setelah kerja-kerja tersebut selesai dilaksanakan.

“Saya telah mendepositkan cek tersebut ke dalam akaun Public Islamic Bank atas nama Zam Engineering & Construction milik isteri saya, Hamidah Basir dan Nur Faizah Zulkifli iaitu anak kepada rakan saya.

“Semua wang yang didepositkan berjumlah RM63,800 telah saya kembalikan kepada Syed Mohsin melalui tiga keping cek Public Islamic Bank,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya pada perbicaraan kes bekas pengerusi Felda itu yang berdepan pertuduhan gagal mengisytiharkan RM1 juta yang diterima daripada bekas perdana menteri Najib Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Saksi pendakwaan ke-13 itu, berkata beliau ada mengemukakan surat sebut harga berjumlah RM63,800 kepada Shahrir atas arahan Syed Mohsin dan tuntutan tersebut telah dibuat atas nama Zam Engineering & Construction.

“Syed Mohsin meminta saya untuk menyediakan surat sebut harga kepada Tan Sri Shahrir kerana Syed Mohsin telah menggunakan wang peribadinya sebagai pendahuluan untuk membeli barang-barang membaiki bumbung serta membayar upah saya dan pekerja tetapi beliau masih belum membuat tuntutan daripada Tan Sri Shahrir,” katanya.

Selain itu, Mustapha berkata, semasa perjumpaan sekitar Oktober 2013, beliau serta Syed Mohsin berbual mengenai perkembangan kerjaya masing-masing dan Syed Mohsin memaklumkan ada membuat kerja membaik pulih Projek Puri Langkasuka atas arahan Shahrir.

“Memandangkan ketika itu saya tidak mempunyai projek, saya ada bertanya kepada Syed Mohsin sama ada beliau memerlukan pekerja atau tidak untuk melakukan kerja baik pulih tersebut,” katanya yang mengenali Syed Mohsin selama kira-kira 30 tahun sejak menjalankan perniagaan sebagai ‘broker’ penjualan kereta.

Saksi itu berkata, Syed Mohsin telah bersetuju supaya beliau melakukan kerja pembaikan bumbung bagi tiga blok bangunan yang terbengkalai dan pembayaran akan dibuat oleh Shahrir sendiri.

Sementara itu, Mustapha bersetuju dengan peguam Syahrul Syazwan Salehin, yang mewakili Shahrir, bahawa kerja-kerja membaik pulih bumbung tiga blok bangunan itu adalah projek terbengkalai.

Saksi itu berkata, beliau tidak pasti sama ada Syed Mohsin memaklumkan kepadanya bahawa projek tersebut bertujuan memindahkan penduduk setinggan ke tempat yang lebih selesa dan baik.

Shahrir, 72, didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang cukai pendapatan yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967, iaitu tidak mengisytiharkan pendapatan diterima daripada Najib berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek yang kemudian dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di LHDN Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini, pada 25 Apr 2014 mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Muhammad Jamil Hussin bersambung esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.