Jangan naikkan OPR kali ketiga berturut-turut, Guan Eng beritahu BNM

Jangan naikkan OPR kali ketiga berturut-turut, Guan Eng beritahu BNM

Kenaikan OPR terakhir, pada Julai, tidak memberi kesan kepada kadar inflasi, dengan indeks harga pengguna meningkat kepada 4.4% pada bulan itu, kata bekas menteri kewangan itu.

Bank Negara Malaysia dijangka menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.5% minggu ini, menurut Moody’s Analytics.
PETALING JAYA:
Pengerusi DAP Lim Guan Eng menggesa Bank Negara Malaysia (BNM) agar tidak menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) buat kali ketiga berturut-turut, dengan berkata ini tidak akan membantu meringankan kesan kenaikan harga barang.

Lim menegaskan bahawa, kenaikan OPR terakhir pada Julai tidak memberi kesan kepada kadar inflasi, dengan indeks harga pengguna, yang mengukur inflasi, meningkat kepada 4.4% pada bulan itu.

Sebaliknya, bekas menteri kewangan itu berkata, inflasi semasa disebabkan oleh permintaan yang berlebihan dan peningkatan kos, yang dikaitkannya dengan gangguan rantaian bekalan akibat sekatan di China dan konflik Rusia-Ukraine.

“Menaikkan OPR juga akan menjadi tamparan yang memalukan oleh Bank Negara terhadap Annuar Musa, pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, yang mendakwa bahawa inflasi dan kenaikan harga makanan semakin terkawal,” katanya dalam kenyataan.

Lim juga berkata, kenaikan OPR tidak membantu mengukuhkan ringgit dalam pasaran mata wang, menyifatkannya sebagai usaha yang “sia-sia” jika dibandingkan dengan dengan kenaikan kadar faedah yang lebih agresif oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat.

“Menaikkan OPR akan memberi kesan buruk kepada kesejahteraan sosio-ekonomi rakyat, iklim pelaburan domestik dan pertumbuhan ekonomi negara pasca wabak yang menghadapi tekanan daripada kenaikan harga,” katanya.

Semalam, Moody’s Analytics menjangkakan bank pusat itu akan menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.5% minggu ini, kenaikan kadar kali ketiga berturut-turut.

Katanya, langkah ini bertujuan untuk membantu mengurangkan inflasi negara ditambah dengan pemulihan ekonomi yang kukuh.

Jawatankuasa dasar monetari BNM dijadualkan bermesyuarat esok dan Khamis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.